Mayat warga asing ditemui berlumuran darah

Polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat mangsa di Kampung Acheh, Sitiawan pagi tadi. Foto: Ihsan Pembaca
Polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat mangsa di Kampung Acheh, Sitiawan pagi tadi. Foto: Ihsan Pembaca
A
A
A

SITIAWAN - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di sebuah pondok berhampiran kolam udang di Jalan Besar, Lumut Port Industrial Park, Kampung Acheh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berkaitan penemuan mangsa dipercayai warga Myanmar itu kira-kira jam 9.30 pagi.

“Mangsa dalam lingkungan usia 30an itu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah. Siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menangkap seorang lelaki yang juga rakan senegaranya berusia lingkungan 20an yang disyaki terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

“Suspek dipercayai bergaduh dengan mangsa namun, motif kejadian masih dalam siasatan. Polis sedang mengesan senjata yang digunakan.

“Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Seri Manjung esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel Berkaitan: