Suami, isteri berdepan hukuman gantung

Suami isteri dituduh mengedar dadah jenis heroin di rumah mereka dekat Taman Bandar Baru, Sungai Lalang 15 November lalu.
Suami isteri dituduh mengedar dadah jenis heroin di rumah mereka dekat Taman Bandar Baru, Sungai Lalang 15 November lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 150 gram, pada 15 November lalu.

Mohd Firdaus Mohd Zamri, 35, dan Safina Ismail, 31, didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Taman Bandar Baru Sungai Lalang.

Mengikut pertuduhan, pada 15 November lalu, jam 9.30 pagi mereka bersama-sama didapati mengedar dadah jenis heroin.

Mereka telah didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan (jika tidak dihukum gantung) boleh dikenakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Geetha Jora Singh di hadapan Majistret Mohamad Fared Abd Latif.

Dalam masa sama, pasangan itu juga dituduh mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 (Pindaan 1983) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama kerana memiliki dadah heroin seberat 10 gram.

Hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau seumur hidup dan minimum 10 kali sebatan wajib dikenakan jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan dan tenang ketika dibawa keluar selepas pendakwaan dilakukan.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan bagi menunggu tarikh sebutan pada 13 Januari 2019 untuk menunggu laporan kimia.