Lelaki larikan dua beg jemaah wanita

Tindakan suspek melarikan beg tangan jemaah wanita dirakam CCTV di Masjid Jawahir, Pengkalan Balak, Melaka semalam.
Tindakan suspek melarikan beg tangan jemaah wanita dirakam CCTV di Masjid Jawahir, Pengkalan Balak, Melaka semalam.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang lelaki menunggu rukun tahiyyat akhir sebelum bertindak melarikan beg tangan dua jemaah yang sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Jawahir, Pengkalan Balak di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 pagi itu, tindakan suspek disedari seorang jemaah wanita berusia 55 tahun yang sedang dalam rukun solat tahiyyat akhir sebelum beg tangan yang diletakkan bersebelahannya diambil suspek.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, wanita itu kemudian menjerit meminta tolong, namun suspek sempat mengambil sebuah lagi beg tangan milik jemaah wanita lain sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Vios berwarna putih.

"Suspek yang tidak dikenali masuk ke ruang solat jemaah wanita lalu bertindak mengambil beg tangan berisi kad pengenalan, kad bank serta serangkai kunci rumah.

"Mendengar jeritan wanita itu, lelaki itu kemudian melarikan diri setelah mengambil dua beg jemaah wanita sebelum menaiki sebuah kereta yang dipandu individu lain yang menunggu di luar masjid," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta membantu polis mengesan suspek terbabit.

Artikel Berkaitan: