89 individu ingkar arahan PKPP ditahan semalam

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 89 individu yang didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) dengan 77 individu dikenakan kompaun dan 12 lagi direman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (30), penjarakan fizikal (29), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (14), langgar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) (10), aktiviti dalam pub/kelab malam (5), dan premis beroperasi tanpa lesen (1).

Menerusi Op Benteng bagi mengawal sempadan negara, seramai 22 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan selain satu bot dan sembilan kenderaan darat dirampas, katanya dalam kenyataan mengenai PKPP hari ini.

Berkenaan kuarantin wajib, seramai 38,843 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,648 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 30,089 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Mengenai bekalan barangan keperluan harian beliau berkata, secara keseluruhan bekalan masih mencukupi serta mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan.

Beliau turut menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian dalam tempoh PKPP. - Bernama

Artikel Berkaitan: