PRODUTK bantu digitalisasi perniagaan usahawan IKS

Chang Khim (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran PRODUTK di Shah Alam kelmarin.
Chang Khim (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran PRODUTK di Shah Alam kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) melancarkan Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) yang merupakan inisiatif kerajaan Selangor dalam membantu syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) untuk beralih kepada sistem pintar.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, PRODUTK merupakan program digitalisasi tenaga kerja yang dibangunkan bagi merekod kehadiran, jadual kerja, laporan suhu, analisis data dan pemantauan menerusi web atau aplikasi.

"Inisiatif ini adalah untuk memacu perkhidmatan yang terbaik di samping melakukan unjuran lebih tepat.

"Pembangunan sistem, aplikasi dan perkhidmatan seperti ini dapat membuka peluang kepada usahawan untuk menghasilkan model perniagaan yang lebih terancang," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PRODUTK di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, pelancaran PRODUTK ini juga adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk beralih kepada transformasi digital rentetan daripada perkembangan teknologi semasa.

Beliau berkata, kerajaan Selangor menyedari keperluan transformasi digital progresif di negeri ini untuk semua aspek perniagaan termasuk operasi dan pentadbiran dalam menghasilkan pengurusan lebih maju untuk industri masing-masing.

"Menerusi program ini, syarikat dapat melanggan program digitalisasi tenaga kerja yang komprehensif di mana sebahagian daripada perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan Selangor juga berharap agar langganan program ini membolehkan syarikat beroperasi dengan lebih produktif sehingga dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, terdapat beberapa kriteria ditetapkan kepada mana-mana perusahaan IKS yang berminat menyertai program ini antaranya seperti majoriti pemegang hak milik perniagaan adalah warganegara Malaysia dan memiliki kakitangan tidak melebihi 200 orang dalam sektor pembuatan atau tidak melebihi 75 orang kakitangan bagi sektor perkhidmatan.

Selain itu, pendaftaran program ini juga boleh dibuat bermula hari ini sehingga 30 Disember depan untuk berpeluang menikmati langganan percuma selama tiga bulan.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman http://investselangor.my/PRODUTK.