Ketua menteri, barisan pemimpin kanan jalani swab test

Rahmad Mariman
Rahmad Mariman
A
A
A

MELAKA TENGAH - Barisan kepimpinan negeri yang diketuai Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini menjalani saringan koronavirus (Covid-19) sebagai langkah berjaga-jaga.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman yang mengesahkan perkara itu berkata, ia selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof disahkan positif koronavirus (Covid-19) dan dikhuatiri mereka mempunyai kontak sosial dengan Amiruddin.

Menurutnya, empat kontak rapat kepada kes ADUN Ayer Limau juga telah disaring di Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah.

"Selain itu, pegawai, kakitangan sokongan termasuk pemandu-pemandu kepada ahli-ahli mesyuarat kerajaan negeri juga menjalani ujian tersebut.

"Bagaimanapun operasi di bangunan pentadbiran kerajaan negeri pada hari ini berjalan seperti biasa biarpun segala program melibatkan kerajaan negeri ditangguhkan," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Semalam Sinar Harian menyiarkan Amiruddin disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah dan sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.

Amiruddin pada Selasa lalu telah hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah untuk memotong gelang merah jambu selepas menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah apabila ujian Covid-19 yang dilakukan terhadapnya negatif.

Bagaimanapun sehari selepas itu beliau disahkan positif.

Artikel Berkaitan:

Rahmad yang juga ADUN Ayer Molek berkata, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk membuat penambahbaikan dan siasatan lanjut berhubung kekeliruan keputusan ujian Covid-19 yang diperoleh Amiruddin sama ada berkaitan faktor kecuaian petugas atau sebagainya sedang berjalan.

"Jika ya tindakan akan dikenakan kepada mereka terlibat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempertimbang untuk mengadakan perlawanan Liga Super antara Melaka United dan Kedah di gelanggang berkecuali.

Menurutnya, pertemuan di Stadium Darul Aman tidak sesuai diadakan memandangkan Kedah antara negeri yang tertinggi mencatat jumlah kes positif Covid-19 ketika ini.

"Saya dimaklumkan pasukan kita akan bertolak ke Alor Setar hari ini selepas MFL memutuskan perlawanan diteruskan seperti biasa.

Kita cadang agar Stadium Perak dapat digunakan sebagai gelanggang berkecuali bagi perlawanan pada Ahad ini kerana khuatir dengan perkembangan terkini Covid-19," katanya.