Meninggal dunia ketika berdoa di masjid

Seorang warga emas meninggal dunia ketika berdoa di Masjid Al-Amin, Kampung Sungai Lerek, Chalok, Setiu jam 7.15 malam tadi.
Seorang warga emas meninggal dunia ketika berdoa di Masjid Al-Amin, Kampung Sungai Lerek, Chalok, Setiu jam 7.15 malam tadi.
A
A
A

SETIU – Seorang warga emas meninggal dunia ketika sedang berdoa selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Al-Amin, Kampung Sungai Lerek, Chalok di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 malam, Khalid Ahmad, 83 dari Kampung Banggol Permaisuri bersama menantunya, Mohamad Firdaus Ibrahim, 29 selesai menunaikan solat berjemaah sebelum mangsa tiba-tiba rebah ketika mengaminkan doa.

Cucu mangsa, Raihan Hussin, 31, berkata, datuknya singgah menunaikan solat di masjid berkenaan ketika dalam perjalanan ke majlis tahlil arwah neneknya di kediaman menantunya di Kampung Chalok Barat.

Raihan memberitahu, neneknya Meriam Latif, meninggal dunia Sabtu lalu kerana sakit tua.

“Menurut perancangan datuk saya bersama menantunya menuju ke Kampung Chalok Barat untuk menghadiri majlis tahlil arwah nenek. Kebetulan dalam perjalanan hari sudah senja dan mereka berhenti untuk solat Maghrib di masjid di Kampung Sungai Lerek.

“Tak sangka pula datuk tak sempat sampai ke majlis tahlil arwah nenek,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Raihan berkata, datuknya merupakan jemaah tetap di sebuah masjid di kampungnya iaitu Kampung Banggol. Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) arwah nampak muram kerana tidak dapat menunaikan solat berjemaah.

Allahyarham Khalid dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Banggol Permaisuri pada jam 11 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan. Hasil siasatan menunjukkan arwah sering mendapatkan rawatan sakit lelah yang dihidapi di Hospital Setiu dan kali terakhir mendapatkan rawatan pada 16 Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah arwah dituntut keluarga untuk pengebumian di Kampung Banggol.