Darwa sokong penuh kempen 'Say No 2 Zina'

Hazlina Abd Razak
Hazlina Abd Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor (Darwa) mendokong dan menyambut baik Kempen 'Say No 2 Zina' yang dilancarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) baru-baru ini.

Pengerusinya, Hazlina Abd Razak berkata, sebagai pertubuhan yang beroperasi hampir satu dekad dan mengkhususkan hal-hal berkaitan kes hamil luar nikah, Darwa menyokong penuh usaha-usaha, pencegahan, kesedaran, advokasi, penguatkuasaan dan pemulihan bagi mendepani isu-isu berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman pertubuhan itu, kes-kes kehamilan luar nikah ini sering terkait dengan isu seperti pengambilan arak dan dadah malah kes sebegini berlaku bukan sahaja dalam kalangan remaja bahkan wanita dewasa.

"Dalam masa yang sama terdapat kes-kes eksploitasi terhadap wanita melalui kegiatan sindiket atau individu tertentu.

"Sebagai pertubuhan yang menyediakan tempat perlindungan dan pemulihan, kami memerhati dan mengkaji setiap kes yang didaftarkan dan diapati ada pelbagai faktor yang menjurus mereka kepada zina," katanya menerusi satu kenyataan.

Hazlina berkata, antara faktor-faktor menyumbang ke arah zina termasuklah kurang didikan agama, hubungan keluarga yang lemah, keadaan ekonomi keluarga yang rendah, pornografi, media sosial dan lain-lain faktor yang disebut sebagai 'faktor berangkai'.

Katanya, kajian terkini yang dijalankan oleh Ahli Lembaga Pengarah Darwa yang juga Setiausaha Agong Persatuan Psikiatri Asia, Prof Dr Nor Zuraida Zainal, mendapati pelatih-pelatih mengalami emptiness iaitu rasa kekosongan dalam diri mereka.

"Secara konsisten selama 10 tahun, pelatih-pelatih menyatakan hal yang sama, kehilangan rasa bertuhan.

Artikel Berkaitan:

"Ini mengingatkan kita kepada asas rukun negara yang pertama iaitu 'kepercayaan kepada tuhan', di mana semangat ini turut terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Falsafah Kebudayaan Negara 1970, yang menekankan keseimbangan dan kemenjadian insan secara holistik berdasarkan nilai-nilai murni yang disepakati," katanya.

Dalam pada itu, Darwa sentiasa komited mendepani isu seperti ini dengan menggerakkan pelbagai program seperti Program Pencegahan dan Kesedaran melalui Modul Aku Teruna Terhebat (ATT), Bahagia Menjadi Gadis (BMG), Program Keibubapaan, Usrah Marhamah dan Daurah NUR.

"Program pemulihan kami mengikut modul-modul tersusun yang diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bahagian Ar-Riqab Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

"Kami percaya dengan gerakan bersepadu semua pihak melalui cadangan, kritikan, pendidikan, latihan, kesedaran, penguatkuasaan dan pemulihan kita akan dapat membina masyarakat yang lebih baik.

"Isu ini bukan sahaja dijuarai oleh golongan wanita, bahkan lelaki dan wanita secara bersama," katanya.