JAS Perak keluarkan kompaun lebih RM2 juta

Rosli (tengah) bersama pegawai yang menjayakan Ops Gempur Barat di kawasan Taiping dan Teluk Intan pada sidang akhbar penutupan Ops Gempur Barat di Pejabat JAS Perak hari ini.
Rosli (tengah) bersama pegawai yang menjayakan Ops Gempur Barat di kawasan Taiping dan Teluk Intan pada sidang akhbar penutupan Ops Gempur Barat di Pejabat JAS Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak telah mengeluarkan sebanyak 1,001 kompaun bernilai lebih RM2 juta atas pelbagai pelanggaran peraturan menerusi empat siri Ops Gempur yang dilaksanakan sejak Mac lalu.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, kompaun tersebut dikeluarkan kepada pihak industri yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Daripada siri operasi yang dijalankan, kita dapat melihat trend peningkatan bilangan kompaun tahun ini apabila pada Mac lalu, sebanyak 102 kompaun bernilai RM204,000 dicatatkan diikuti bulan Julai iaitu sejumlah 188 kompaun (RM376,000) dan Ogos pula mencatatkan sehingga 305 kompaun berjumlah RM610,000.

"Terbaru operasi yang dilakukan pada 28 September hingga semalam, sebanyak 406 kompaun bernilai RM812,000 dikeluarkan kepada 72 premis di Teluk Intan dan Taiping," katanya pada sidang akhbar penutupan Ops Gempur Barat di Pejabat JAS Perak di sini hari ini.

Rosli
Rosli

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas pihak industri mendapati, hampir 50 peratus gagal mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Peningkatan pengeluaran kompaun membimbangkan apabila ada segelintir pihak industri yang mengambil ringan terhadap aspek pematuhan perundangan alam sekitar.

"Ia juga memberi isyarat kepada jabatan untuk meningkatkan operasi dengan lebih kerap. Kekurangan anggota dan peralatan bukanlah penghalang untuk menguatkuasakan perundangan alam sekitar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rosli berkata, Ops Gempur oleh JAS Perak dilaksanakan bertujuan mempertingkatkan pematuhan industri kepada penjagaan alam sekitar.

Justeru, katanya, JAS Perak tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seperti menggantung lesen dan sitaan kelengkapan di premis yang terlibat.

"Kertas siasatan dibuka terhadap kesalahan yang tidak boleh dikompaunkan seperti melepaskan air buangan terjadual ke sungai, kegagalan pengurusan buangan toksik berbahaya dan pelepasan benda asing ke udara sebelum didakwa.

"Premis yang menerima notis arahan dan kompaun sekiranya gagal sempurnakan notis tersebut bakal dikenakan tindakan di mahkamah malah, JAS sendiri akan membuat susulan lebih rapat terhadap premis terlibat," katanya.