Ditatang seperti bayi akibat derita kanser lidah

Siti Aisyah tidak pernah mengeluh menjaga suaminya yang terlantar menderita sakit kanser di rumahnya di Kampung Kedai Buloh di sini.
Siti Aisyah tidak pernah mengeluh menjaga suaminya yang terlantar menderita sakit kanser di rumahnya di Kampung Kedai Buloh di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada siapa yang menyangka kekerapan sakit di dalam mulut sebenarnya punca kanser yang mengakibatkan Robi Mat, 47, kini terlantar sakit dan tidak mampu menguruskan diri.

Robi yang dulu seorang nelayan kini diibaratkan seperti bayi kerana semua keperluannya diuruskan isteri, Siti Aisyah Ismail, 30, yang tidak pernah jemu menjaganya sejak tujuh bulan lalu.

Siti Aisyah berkata, semuanya bermula empat tahun lalu apabila suaminya sering mengadu sakit di dalam mulut dan pada mulanya disangka hanya radang biasa.

“Saya sering berulang-alik membawanya ke klinik dan suami selalu berharap akan sembuh setiap kali berkumur dengan ubat yang diberikan doktor walaupun terpaksa menahan sakit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Aisyah, dia pelik apabila suaminya semakin sakit dan keadaan itu berlarutan sehingga Mac lalu sebelum dibawa menerima rawatan di hospital.

Menurut wanita tabah ini, bermula dua tahun lalu suaminya sudah tidak bekerja dan awal Mac lepas berat badannya semakin susut selain terpaksa menggunakan lampin pakai buang dan minum menggunakan alat khas.

Siti Aisyah memberikan air kepada suami tercintanya yang terlantar menggunakan tiub.
Siti Aisyah memberikan air kepada suami tercintanya yang terlantar menggunakan tiub.

Katanya, suaminya juga tidak mampu membuka mulut dan sehingga kini tidak dapat disahkan tahap kanser yang dihidapinya.

Artikel Berkaitan:

Lebih memilukan apabila melihat suami hanya mampu mengerang kesakitan dan menggunakan isyarat tangan jika mahu sesuatu atau lapar.

“Tipu kalau kata saya tidak sedih. Kalau dulu abang boleh bercakap tetapi sekarang hanya mampu menunjukkan isyarat ibu jari tangan ke mulutnya. Saya berikan susu khas.

“Saya hanya tahu dia sakit kalau dia mengerang. Saya hanya mampu menggosok badan dan tenangkan dia. Hanya ALLAH SWT yang tahu apa yang saya rasa,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia empat, lapan dan 11 tahun itu memberitahu, ujian menguruskan suami tidak pernah dianggap sebagai beban malah kasih sayang dan setianya kepada suami yang dinikahi 12 tahun lalu tidak pernah pudar.

“Setiap kali mandi, saya akan mendukungnya. Walaupun berat ini pengorbanan dan tanggungjawab saya buat abang. Saya akan jaga dia sampai bila-bila,” katanya.

Siti Aisyah juga memberitahu, buat masa ini keadaan suaminya semakin teruk kerana mulutnya sudah tidak boleh dibuka dan sukar untuk membuat rawatan seterusnya.

Katanya, dia perlu meneruskan kehidupan seharian demi dua anak yang masih bersekolah dan perbelanjaan keperluan suami dengan menjual makanan secara kecil-kecilan di hadapan rumahnya.

Che Norhayati (tengah) dan Rosnani turut memberikan sumbangan segera kepada Siti Aisyah ketika menziarahi suaminya di Kampung Kedai Buloh di sini.
Che Norhayati (tengah) dan Rosnani turut memberikan sumbangan segera kepada Siti Aisyah ketika menziarahi suaminya di Kampung Kedai Buloh di sini.

Ibu tabah itu memberitahu, dengan purata RM100 hingga RM200 sehari dan kadang kala tidak sampai RM100 itu dia berjimat menguruskan keluarga yang turut dibantu rakan-rakan dan saudara.

“Susu abang yang berharga RM80 satu tin hanya bertahan tiga hari saja. Dia minum setiap tiga jam sekali, lampin pakai buang pun agak banyak kena guna. Sebab itulah saya perlu berjimat dan bijak menguruskan wang yang ada.

“Duit poket anak sekolah pun saya bagi RM2 dan kadang-kadang RM3 sehari. Anak-anak sudah faham kalau saya bagi sikit,” katanya.

Kisah hidup Siti Aisyah mendapat perhatian Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf, yang diwakili Che Norhayati Mohamed dan Rosnani Ali dari i-Kasih.

Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan menerusi Bank Simpanan Nasional atas nama Siti Aisyah (0301041000459823).