X

Kindly register in order to view this article
!

Rahsia pelaburan perlu anda tahu

Rajin-rajinlah membaca dan menambah ilmu berkaitan pelaburan serta perancangan kewangan supaya anda menjadi seorang yang bijak dalam melabur.
A
A

Usia muda bukanlah penghalang memulakan pelaburan, begitu juga modal yang kecil bukanlah bermakna anda tidak boleh mula melabur.

Tiga elemen penting dalam pelaburan ialah tempoh, konsistensi dan pulangan.

Bagaimanakah ketiga-tiganya berperanan dalam mengembangkan pelaburan anda?

Sebenarnya ketiga-tiga elemen ini, apabila digabungkan akan membolehkan kuasa faedah kompaun bertindak secara maksimum selagi modal pelaburan dan dividen tidak dikeluarkan.

Kejaiban kuasa kompaun mula berlaku apabila dividen yang tidak dikeluarkan terus menerima dividen dan apabila kitaran ini berlaku untuk jangka panjang, modal pelaburan akan berkembang dengan pantas.

Tempoh pelaburan

Tempoh pelaburan yang panjang biasanya memberi peluang lebih untuk mengembangkan pelaburan anda kerana kuasa faedah kompaun boleh bertindak dengan lebih berkesan.

Oleh itu, lebih awal anda mula melabur, lebih panjang tempoh pelaburan dan lebih besarlah peluang membina tabungan yang kukuh. Sebagai pelajar, anda bertuah kerana mempunyai masa yang masih panjang, justeru mulalah melabur dari sekarang.

Disiplin dan konsistensi

Sekiranya anda tidak mempunyai modal besar untuk melabur secara sekaligus, anda tidak perlu gusar.

Pelaburan dalam jumlah yang kecil sekalipun, sekiranya dilakukan secara konsisten dan berterusan untuk satu jangka masa panjang, akan mengembangkan pelaburan anda.

Paling penting, jangan sesuka hati mengeluarkan wang pelaburan untuk dibelanjakan. Biarkan wang anda berkembang dan terus berkembang.

Pulangan pelaburan

Carilah instrumen pelaburan yang mampu memberi pulangan yang optimum dan kompetitif. Sebagai contoh, sekiranya anda menyimpan dalam akaun simpanan biasa, anda hanya menerima pulangan yang sangat minima iaitu kurang 1% sahaja.

Namun sekiranya anda melabur dalam instrumen pelaburan yang memberi dividen lebih tinggi, pelaburan anda akan berkembang dengan lebih pantas.

Sekiranya anda menyimpan RM500 dalam di akaun simpanan di bank, katakan dengan pulangan 0.25 peratus setahun, anda hanya akan memperoleh RM1.25 sahaja selepas setahun menyimpan.

Sebaliknya, jika melabur dalam instrumen yang memberi pulangan lebih tinggi seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), dengan anggaran purata dividen tahunan 5 peratus, anda akan memperoleh RM25 selepas setahun.

Jumlah ini jauh berbeza dan pastinya akan menjadikan pelaburan anda mampu berkembang dengan lebih pantas.

Justeru, jangan biarkan wang anda ‘tidur’ dalam akaun simpanan di bank dan pilihlah instrumen pelaburan yang memberi pulangan lebih tinggi.

Oleh itu, sebagai pelajar, sebaiknya gunakan masa yang ada untuk mengembangkan pelaburan.

Lebih awal anda mula melabur, lebih panjang tempoh pelaburan dan lebih besarlah peluang membina tabungan yang kukuh.

Pada masa sama, carilah pelaburan yang mampu memberi pulangan kompetitif dan optimum.

Untuk maklumat lanjut sila klik pautan www.asnb.com.my


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!