Covid-19: Pas arah tangguh semua program

ABDUL HADI
ABDUL HADI
A
A
A

MARANG – Pas mengarahkan semua program anjuran parti itu ditangguhkan serta-merta berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan koronavirus (Covid-19) sejak kebelakangan ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan itu dibuat sehinggalah perkembangan terkini situasi Covid-19 dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kedua, sekiranya program itu masih perlu diadakan ia haruslah mengikut SOP (Prosedur Operasi Standart) ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dalam talian di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Kes harian positif Covid-19 terus melonjak kepada 260 kes semalam sekali gus menjadi yang tertinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

Daripada jumlah itu hanya satu kes import dan 259 kes penularan dalam negara dan situasi itu mencetuskan rasa bimbang kepada rakyat.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas bercadang mengadakan sambutan ulang tahun Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai parti itu bersama UMNO pada 14 September tahun lalu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, majlis sambutan tersebut merupakan salah satu agenda dalam memperkukuhkan kerjasama Muafakat Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Bila (sambutan), itu kita akan jumpa dan bincang dengan rakan UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Enam hasrat utama Piagam Muafakat Nasional digariskan pada Majlis Menandatangani Piagam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

Antara perkara tersebut ialah berkaitan akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.