JAS Pahang keluarkan 88 kompaun

Pegawai JAS melakukan pemeriksaan pelepasan asap ke atas kenderaan dalam operasi bersepadu di Berinchang, Cameron Highlands, semalam.
Pegawai JAS melakukan pemeriksaan pelepasan asap ke atas kenderaan dalam operasi bersepadu di Berinchang, Cameron Highlands, semalam.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Pahang mengeluarkan 88 kompaun atas kesalahan gagal mematuhi pengurusan bahan terjadual dan pelepasan asap kenderaan melebihi had ditetapkan.

Melalui operasi Ops Gerak dan Ops Gempur yang bermula Julai hingga 30 September lalu JAS turut mengeluarkan 24 arahan di lapangan, 33 notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan 34 notis arahan di bawah Seksyen 48A, akta sama.

Pengarah JAS Pahang, Mohd Sani Mat Daud berkata, 46 kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan 42 kompaun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.

Menurutnya, melalui dua operasi itu, JAS Pahang berjaya mengesan beberapa kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 832 kenderaan dan 24 premis diperiksa sebelum tindakan penguatkuasaan itu diambil.

"Operasi Bersepadu Ops Gerak Rentas Sempadan ini dilaksanakan bersama agensi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis Pahang serta Perak dengan memfokuskan kepada pematuhan pelepasan asap kenderaan yang menggunakan diesel.

Pegawai JAS melakukan pemeriksaan pelepasan asap ke atas kenderaan dalam operasi bersepadu di Berinchang, Cameron Highlands, semalam.
Pegawai JAS melakukan pemeriksaan pelepasan asap ke atas kenderaan dalam operasi bersepadu di Berinchang, Cameron Highlands, semalam.

"Sementara itu, ‘Ops Gempur Rentas Negeri Zon Timur Peringkat Negeri Pahang turut dilaksanakan pada 21 sehingga 23 September lalu dengan menumpukan kepada pematuhan terhadap perundangan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata, tumpuan operasi lebih kepada industri kimia, premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar serta premis di kawasan industri yang berada di atas takat pengambilan air di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan terkini yang dijalankan dua agensi itu bermula 26 hingga 30 September lalu, 121 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh pihak JPJ dan 53 saman oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik,"katanya.

Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan itu membuktikan keseriusan pihak jabatan dalam membanteras dan mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang melanggar perundangan alam sekitar.

"Kita tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan ingin ditegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus diperhebatkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,"katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my