Google setuju bayar syarikat penerbitan lebih RM4 bilion

Syarikat gergasi internet Google merancang untuk membayar AS$1 bilion (RM4.15 bilion) kepada para penerbit di seluruh dunia untuk berita yang mereka terbitkan selama tiga tahun akan datang.
Syarikat gergasi internet Google merancang untuk membayar AS$1 bilion (RM4.15 bilion) kepada para penerbit di seluruh dunia untuk berita yang mereka terbitkan selama tiga tahun akan datang.
A
A
A

NEW YORK - Syarikat gergasi internet Google merancang untuk membayar AS$1 bilion (RM4.15 bilion) kepada para penerbit di seluruh dunia untuk berita yang mereka terbitkan selama tiga tahun akan datang, kata ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu semalam.

Langkah pelesenan berita itu diperkenalkan bagi memenangi hati kumpulan media di tengah-tengah usaha mengetatkan kawal selia yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Pada peringkat awal, Google akan menandatangani urusniaga itu dengan 200 syarikat penerbitan di negara-negara terpilih.

Syarikat-syarikat penerbit akhbar, portal dan agensi berita telah lama memperjuangkan supaya enjin carian internet paling popular di dunia itu membayar ganti rugi kerana menggunakan kandungan berita mereka dengan kumpulan media Eropah menerajui tindakan tersebut.

Menurut CEO Google, Sundar Pichai, produk baharu yang dipanggil Google News Showcase akan dilancarkan buat pertama kali di Jerman, di mana ia telah mendaftar akhbar-akhbar Jerman termasuk Der Spiegel, Stern dan Die Zeit, manakala di Brazil pula dengan Folha de S.Paulo, Band serta Infobae.

Program yang diumumkan pada bulan Jun lalu itu kemudian akan turut dilancarkan di Belgium, India, Belanda dan negara-negara lain.

Kira-kira 200 penerbit di Argentina, Australia, Britain, Brazil, Kanada dan Jerman telah mendaftar untuk produk tersebut.

Google, bersama Facebook, mengawal sebahagian besar pendapatan iklan dunia yang sebelum ini dikuasai oleh para penerbit dalam industri berita.

Artikel Berkaitan:

"Komitmen kewangan ini yang terbesar hingga kini akan membayar penerbit untuk membuat dan mengurus kandungan berkualiti tinggi untuk pelbagai jenis pengalaman berita dalam talian," kata Pichai dalam satu catatan blog.

Syarikat induk Google, Alphabet melaporkan keuntungan bersih AS$34.3 bilion (RM142.4 bilion) daripada perolehan hampir AS$162 bilion (RM672 bilion) tahun lalu.

Produk Google yang terbaru itu membolehkan penerbit memilih dan menyampaikan laporan mereka akan dilancarkan di Google News pada peranti Android dan akhirnya pada peranti Apple.

"Pendekatan ini berbeza dengan produk berita kami yang lain kerana ia bergantung pada pilihan editorial yang dibuat oleh setiap penerbit mengenai kisah mana yang akan ditunjukkan kepada pembaca dan bagaimana menyampaikannya," kata Pichai.

Kumpulan Spiegel, sebuah syarikat penerbitan Jerman, menyambut baik projek itu.

"Dengan integrasi kandungan editorial yang baharu daripada Spiegel, Google menunjukkan bahawa mereka serius untuk menyokong kewartawanan berkualiti di Jerman. Kami gembira untuk menjadi sebahagian daripada program ini sejak awal," kata Stefan Ottlitz, pengarah urusan Spiegel.

Majlis Penerbit Eropah (EPC) yang keanggotaannya termasuk News UK, Guardian, Pearson, New York Times dan Schibsted, bagaimanapun, tidak bersemangat berhubung isu itu.

"Dengan melancarkan produk itu, mereka (Google) dapat menentukan syarat-syarat, melemahkan undang-undang yang dirancang untuk mewujudkan perundingan yang adil, sementara mereka mendakwa membantu membiayai pengeluaran berita," kata Pengarah Eksekutif EPC, Angela Mills Wade.

Produk Google itu dibuat berdasarkan perjanjian pelesenan dengan kumpulan media di Australia, Brazil dan Jerman pada bulan Jun, yang juga mendapat sambutan daripada EPC.

Google ketika ini sedang berunding dengan penerbit Perancis, iaitu antara pengkritiknya yang paling lantang sementara Australia ingin memaksa syarikat itu dan Facebook untuk berkongsi hasil iklan dengan kumpulan media tempatan.

Pembiayaan Google untuk organisasi berita telah mengecewakan penerbit internet lain seperti laman web cuaca dan resipi yang mendakwa Google juga telah merugikan pendapatan mereka. - Agensi