'Hampir setiap hari Terengganu terima kunjungan pelabur'

Tengku Hassan (kanan) ketika ditemu bual menerusi Sinar Live bagi membicarakan topik ‘Terengganu kurang pelabur?’, hari ini.
Tengku Hassan (kanan) ketika ditemu bual menerusi Sinar Live bagi membicarakan topik ‘Terengganu kurang pelabur?’, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kehadiran seramai 40 pelabur ke negeri ini menunjukkan keyakinan tinggi diberikan terhadap potensi pelaburan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sejak menggalas portfolio itu, beliau menerima kunjungan pelabur hampir setiap hari.

“Saya menerima banyak kunjungan daripada rakan-rakan pelabur yang menyatakan bersetuju untuk melabur di Terengganu. Ada yang datang berkunjung berkali-kali ke sini (Terengganu).

"Bagaimanapun, kerajaan negeri sedang meneliti permohonan dan cadangan daripada pelabur yang menyatakan persetujuan untuk melabur di negeri ini," katanya ketika ditemu bual menerusi Sinar Live bagi membicarakan topik ‘Terengganu kurang pelabur?’hari ini.

Tengku Hassan berkata, penelitian perlu dibuat supaya pelaburan yang dijalankan akan memberi kesan positif kepada rakyat.

“Kita perlu berhati-hati dalam meneliti setiap permohonan dan cadangan supaya ia memberi impak yang maksimum kepada rakyat Terengganu.

“Kita juga perlu menjadi fasilitator kepada pelabur ini bagi membantu mempercepatkan pelaburan setelah permohonan diluluskan kerajaan negeri,” katanya

Ditanya mengenai industri yang menjadi tumpuan pelabur, katanya, industri pasir silika kini mendapat tumpuan pelabur asing.

Artikel Berkaitan:

“Industri pasir silika mendapat perhatian pelabur sama ada di peringkat upstream atau downstream selain sektor minyak dan gas serta bioteknologi,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini industri itu, katanya, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang dilantik sebagai pemaju induk Lembah Silika Terengganu telah menyiapkan pelan Pembangunan Lembah Silika Terengganu.

“Pelan utama ini akan dibentangkan untuk penerimaan dan persetujuan kerajaan negeri sebelum akhir Mac 2019.

“Dalam masa yang sama, Petronas sedang membuat kajian terperinci berhubung teknikal dan komersial pembinaan talian paip gas ke tapak Lembah Silika ini dan kita sedang menyusun program-program bagi mempromosikan Lembah Silika ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai industri itu, Tengku Hassan berkata, keutamaan diberikan ialah aktiviti pemprosesan akhir daripada silika dan bukan pasir silika.

“Pemprosesan akhir produk ini akan menawarkan peluang pekerjaan yang lebih ramai dan meningkatkan rantaian ekonomi di Terengganu.

“Saya harap ia dapat membantu kita menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan sebagaimana yang disasarkan kerajaan negeri,” katanya.