Rakyat Malaysia disaran menabung

Dr Sulaiman (empat dari kiri) bersama pemenang Cabutan WOW! SSPN-i Plus bulan Julai.
Dr Sulaiman (empat dari kiri) bersama pemenang Cabutan WOW! SSPN-i Plus bulan Julai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Program Bulan Menabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2020 semalam.

Program sempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun itu dilaksanakan bertujuan bagi memberi galakan dan membudayakan perancangan kewangan serta membuktikan manfaat penabungan untuk pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 4.6 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM6.76 bilion.

Katanya, secara asasnya jumlah itu masih kecil berbanding jumlah kanak-kanak dan remaja warganegara Malaysia berusia 19 tahun ke bawah yang berjumlah 10 juta orang.

Katanya, tindakan yang lebih giat harus dilakukan bagi memastikan setiap ibu bapa mempunyai tabungan SSPN untuk setiap anak secara konsisten.

“Kajian menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan walaupun untuk jangka masa pendek.

“Walaupun lapan daripada 10 rakyat Malaysia mengatakan mereka mempunyai simpanan secara tetap, simpanan tersebut kebiasaannya dikeluarkan pada akhir bulan untuk menampung perbelanjaan harian setelah mereka gagal mengikut bajet yang dirancang.

“Jadi, ibu bapa amat perlu membuat perancangan awal seawal usia anak-anak untuk persediaan pendidikan tinggi mereka. Mengambil semangat kuasa menabung ini, masyarakat harus bijak merancang kewangan sebagai persediaan masa hadapan,” katanya ketika melancarkan perasmian Bulan Menabung SSPN 2020 di sini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, melalui Bulan Menabung itu, ibu bapa dan kanak-kanak berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang menarik dan menyeronokkan secara dalam talian.

Dr Sulaiman (dua dari kanan) yang mewakili Wan Saiful merasmikan Bulan Menabung SSPN 2020 sambil diperhatikan oleh Ahmad Dasuki (dua dari kiri) dan tetamu kenamaan di Kuala Lumpur, semalam.
Dr Sulaiman (dua dari kanan) yang mewakili Wan Saiful merasmikan Bulan Menabung SSPN 2020 sambil diperhatikan oleh Ahmad Dasuki (dua dari kiri) dan tetamu kenamaan di Kuala Lumpur, semalam.

“Menjadi hasrat dan harapan saya agar SSPN terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia membuat perancangan kewangan untuk pendidikan anak-anak.

“Amalan menabung untuk pendidikan ini perlu dijadikan instrumen bagi mendepani kos hidup yang semakin mencabar dan kompleks,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, rekod setakat Ogos lalu menunjukkan PTPTN berjaya mencapai sebanyak 275,964 pembukaan akaun baharu, melepasi sasaran awal iaitu 232,000 akaun.

Menurutnya, peningkatan itu jelas membuktikan masih ramai rakyat Malaysia mampu menabung di sebalik kesempitan berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Pada tahun ini, PTPTN menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1.5 bilion dengan 400,000 akaun baharu,” katanya.

Beliau berkata, sejak tahun 2004 sehingga 31 Ogos tahun ini, sebanyak 4.6 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM6.76 bilion.

“SSPN yang diwujudkan PTPTN mempunyai pelbagai keistimewaan seperti simpanan dijamin kerajaan dan paling penting ia adalah patuh syariah.

“Kadar dividen yang diberikan juga kompetitif berbanding simpanan di institusi kewangan lain. Tahun lalu, kadar dividen yang diberikan adalah sebanyak empat peratus,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang Cabutan WOW! SSPN-i Plus bulan Julai, Abu Husin Mamat, 40, mengakui gembira dan teruja dengan kemenangan itu.

Jurutera yang merupakan bapa kepada dua anak itu berkata, dia mula menabung dengan SSPN sejak 10 tahun lalu dan amalan itu masih berterusan sehingga kini.

“Alhamdulillah, syukur sangat dengan kemenangan ini dan saya harap masyarakat di luar sana juga tidak melepaskan peluang untuk turut menabung kerana banyak manfaat yang diperoleh,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya, Abu Husin yang kini menetap di Shah Alam berkata, dia akan menggunakan wang tersebut untuk tabungan.

Menurutnya, setiap bulan dia memperuntukkan kira-kira RM400 untuk tabungan kedua-dua anaknya.

Pemenang Cabutan WOW! SSPN-i Plus Ogos, Hasanah Abdul Khafidz pula berkata, setiap bulan dia memperuntukkan sebanyak 10 peratus daripada pendapatannya untuk simpanan pendidikan seramai tujuh orang anaknya.

Menurut Pensyarah Fakulti Pendidikan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini menetap di Sepang itu, dia mula menyimpan dengan SSPN sejak 10 tahun lalu.

“Kita tidak dapat tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Jadi, saya sarankan semua ibu bapa untuk menabung demi masa pendidikan anak-anak. Saya tahu untuk menabung bukan mudah tetapi kita harus sedar bahawa tindakan kita hari ini penentu masa depan anak-anak,” katanya.