Dilema pembelian undi di Kyrgyzstan

Beberapa orang berjalan dekat sebuah poster parti Ata-Meken di Kampung Ton pada 8 September lalu. - Foto AFP
Beberapa orang berjalan dekat sebuah poster parti Ata-Meken di Kampung Ton pada 8 September lalu. - Foto AFP
A
A
A

KYRGYZSTAN: Warga Kyrgyzstan dan parti-parti kecil yang akan terlibat dalam memilih wakil-wakil rakyat parlimen pada Ahad ini dihantui kebimbangan bahawa pembelian undi akan merosakkan satu pilihan raya yang kompetitif di negara kecil bekas empayar Kesatuan Soviet itu.

Dikelilingi oleh negara-negara pemerintahan autoritarian dengan badan perundangannya menjadi 'pak turut', pilihan raya di kawasan pergunungan Kyrgyzstan dipenuhi dengan kisah 'berwarna-warni' dan kadangkala menghasilkan keputusan tidak dapat dijangkakan.

Berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) menjejaskan pendapatan, ramai yang memberi amaran bahawa pilihan raya tersebut dipercayai akan terlibat dalam penipuan yang didakwa dilakukan oleh parti-parti yang mempunyai kewangan kukuh.

Rita Karasartova, iaitu orang luar parti Reforma yang berjanji untuk melakukan pemulihan struktur di negara terjejas dengan rasuah tersebut jika dipilih menganggotai Parlimen memberitahu AFP, beliau 'berhasrat untuk percaya' bahawa pilihan raya akan menjadi satu 'pertempuran' idea berbanding daripada wang tunai.

"Namun, selepas koronavirus, situasi ekonomi kini amat sukar," katanya.

"Parti-parti prokerajaan terlalu kaya dan saya berpendapat mereka (parti-parti prokerajaan) sedang membeli undi penduduk di kampung-kampung," ujarnya.

Daripada 16 buah parti yang bertanding, dua parti hampir pasti akan mendapat kerusi dalam Parlimen, Parlimen negara itu mempunyai sebanyak 120 anggota dalam Dewan Perundangan.

Parti Birimdik dilihat sebagai setia kepada Presiden Sooronbai Jeenbekov dan saudara kandung Presiden dan bekas Speaker Parlimen, Asylbek Jeenbekov adalah antara calon dalam pilihan raya tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pencabar utamanya, parti Mekenim Kyrgyzstan adalah bersekutu dengan keluarga yang berpengaruh di negara tersebut.

Tokoh utamanya, Rayimbek Matraimov iaitu bekas pegawai Perkhidmatan Kastam adalah sasaran protes antirasuah pada tahun lalu.

Kedua-dua parti itu memperjuangkan integrasi dengan Kesatuan Ekonomi Eurasian diketuai Rusia yang telah meningkatkan status ratusan ribu migran Kyrgyzstan yang bekerja di Rusia.

Negara itu menyertai blok tersebut pada tahun 2015.

Namun, Pengerusi Birimdik, Marat Amankulov mencetuskan kemarahan berhubung komennya yang dibuat pada tahun lalu.

Dalam komennya itu, Amankulov menyatakan sudah tiba masanya untuk Kyrgyzstan kembali semula kepada Rusia menyebabkan beliau dituduh memperendahkan kemerdekaan tanah airnya.

Menerusi satu pertemuan dengan pemimpin Rusia, Vladimir Putin di Sochi pada Isnin lalu, Jeenbekov memberi amaran terhadap 'pihak' yang mahu membawa negaranya ke dalam satu perikatan (Kyrgyzstan-Rusia).

Kenyataan itu merujuk kepada perhimpunan pro-kedaulatan yang diadakan di ibu kota Bishkek pada Ahad lalu bagi menentang komen Amankulov itu.

Seorang peserta dalam perhimpunan seramai 300 orang itu, seorang penunjuk perasaan, Sabira Sutenirova yang berusia 56 tahun memberitahu AFP bahawa parti Birimdik membeli undi sebanyak 2,000 soms (RM103.74) di luar ibu kota yang mana tempat saudara-maranya menginap.

"Mereka mahu menjual negara kita," dakwa Sutenirova.

Bagaimanapun, Amankulov berkata, komennya mengenai Rusia itu diambil di luar konteks.

Seorang perwakilan undang-undang parti Birimdik itu memberitahu AFP menerusi telefon bahawa ia tidak terlibat dalam pembelian undi atau meletakkan tekanan ke atas pengundi.

Sebelum ini berlaku revolusi sehingga menyebabkan dua Presiden yang memerintah secara autoritarian di negara tersebut tersingkir daripada kuasa.

Revolusi itu dilihat sebagai pendorong di belakang perlembagaan untuk menghalang golongan autoritarian dan menyekat berlakunya 'persaingan' politik.

Undang-undang pilihan raya menyatakan bahawa tidak ada sebuah pun parti boleh mendapat 65 daripada 120 kerusi di Dewan Perundangan.

Presiden pula dihadkan memerintah untuk satu penggal sahaja yang membolehkannya berkuasa cuma selama enam tahun.

Ia berbeza berbanding dengan negara-negara jiran seperti China, Kazakhstan, Tajikistan dan Uzbekistan.

Jeenbekov mengharapkan sebuah parlimen yang boleh memberikan kerjasama kepadanya dan beliau merancang untuk bersara daripada jawatan Presiden pada tahun 2023.

Presiden Kyrgyzstan, Sooronbai Jeenbekov berharap anggota-anggota Parlimen yang dipilih pengundi pada Ahad ini boleh menjalin kerjasama dengannya. - Foto AFP
Presiden Kyrgyzstan, Sooronbai Jeenbekov berharap anggota-anggota Parlimen yang dipilih pengundi pada Ahad ini boleh menjalin kerjasama dengannya. - Foto AFP

Beliau juga mengetahui pemegang jawatan Presiden sebelum ini, Almazbek Atambayev ketika ini berada di penjara.

Atambayev ditahan atas dakwaan membebaskan secara haram seorang ketua penjenayah dari sebuah penjara, satu kesalahan yang menyebabkannya menerima hukuman 11 tahun penjara pada Jun lalu.

Ketegangan hubungan antara kedua-dua lelaki itu berlaku berikutan kemenangan Jeenbekov dalam pilihan raya pada tahun 2017.

Pada tahun lalu, terdapat kejadian tembakan di kediaman Atambayev melibatkan para penyokong bersenjata bekas Presiden itu dengan pasukan keselamatan negara yang cuba untuk menangkapnya.

Beliau juga didakwa dalam kejadian pembunuhan seorang pegawai khas yang terkorban dalam serbuan tersebut.

Namun, drama politik golongan atasan itu adalah jauh daripada rasa bimbang penduduk Bishkek dalam minggu ini.

Penduduk ibu kota itu lebih berminat dengan untuk memfokuskan kepada isu-isu rasuah, gaji rendah dan Covid-19 yang berlaku di negara tersebut sebelum pilihan raya tersebut.

Seorang pelajar, Eldiyar Temir, 24, berkata, beliau menimbangkan untuk mengundi parti pembangkang, Ata-Meken tetapi tidak melihat masa depan untuk dirinya di Kyrgyzstan.

"Saya melihat negara-negara lain membuat pembaharuan. Saya akan tinggal di sini buat sementara waktu dan kemudian meninggalkan (negara ini) untuk pergi ke tempat lain," katanya. - AFP