Majlis kahwin dalam normal baharu

Pasangan pengantin, Nor Hisham (hadapan kiri) dan isterinya, Nor Norhidayah sewaktu menjalani upacara pernikahan mengikut SOP di Pejabat Agama Islam Parlimen Bagan Serai, baru-baru ini.
Pasangan pengantin, Nor Hisham (hadapan kiri) dan isterinya, Nor Norhidayah sewaktu menjalani upacara pernikahan mengikut SOP di Pejabat Agama Islam Parlimen Bagan Serai, baru-baru ini.
A
A
A

PADA 1 Julai lalu, kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk perkahwinan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun, penganjurannya perlu dihadkan antara tiga hingga lima jam sahaja dengan kapasiti tetamu yang hadir tidak melebihi 250 orang.

Namun selepas genap 30 hari PKPP dilaksanakan, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa tiada lagi had maksimum 250 tetamu, sebaliknya mengehadkan peserta berdasarkan kepada keluasan tempat dengan syarat adanya pematuhan penjarakan fizikal.

Kedua-dua pengumuman itu ternyata memberi kelegaan kepada bakal pengantin yang ingin melaksanakan majlis perkahwinan termasuklah penulis sendiri.

Bayangkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, hati penulis berbelah bahagi sama ada ingin meneruskan majlis seperti dirancang atau tangguh sehingga keadaan benar-benar pulih.

Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Ini kerana tempahan katering sudah dibuat, jika batal maka hanguslah wang deposit. Jika tangguh, kita sendiri tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir.

Bukan tidak mahu nikah dahulu, majlis kemudian tetapi seperti penulis sebutkan tadi, kita tidak tahu bila virus ini akan lenyap dari muka bumi ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri menjangkakan pandemik Covid-19 akan berakhir dua tahun lagi.

Artikel Berkaitan:

Walaupun Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Gheyreyesus percaya pakar mempunyai pengetahuan dan teknologi untuk menghentikannya, namun beliau akui pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi menyebabkan virus berkenaan lebih mudah tersebar. Jadi tidak mustahil Covid-19 boleh berlarutan lebih lama lagi.

Ada juga yang mencadangkan supaya penulis mengadakan majlis secara drive thru atau pandu lalu, namun persoalannya akan adakah kemeriahan dan kemesraan sanak-saudara, sahabat handai dalam majlis seperti itu?

Hikmah

Berdasarkan keputusan kerajaan tadi, maka penulis mengambil keputusan untuk meneruskan majlis perkahwinan seperti dirancang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Semua persiapan dibuat mengikut norma baharu. Jika ada yang mahu membawa beberapa ahli keluarga atau rakan memilih baju pengantin, maka lupakan sahaja kerana hanya pasangan pengantin yang dibenarkan memasuki butik.

Biarpun perlu mengikuti pelbagai garis panduan, tetapi bagi penulis banyak hikmah mengadakan majlis kahwin ketika PKP ini kerana lebih memudahkan bakal pengantin.

Seperti contoh bakal pengantin di Wilayah Persekutuan, mereka diberi kelonggaran untuk mengikuti kursus praperkahwinan secara dalam talian bagi menyokong amalan penjarakan sosial dan mengelakkan perhimpunan ramai.

Malah pada peringkat awal PKP dilaksanakan, majlis akad nikah secara sidang video dibenarkan melalui ketetapan dan syarat tertentu.

Kini dalam tempoh PKPP, majlis akad nikah fizikal sudah dibenarkan tetapi masih dalam keadaan yang ringkas.

Seperti di tempat penulis sendiri, pengantin lelaki hanya perlu melafazkan akad "Aku terima nikahya seperti yang tersebut". Tidak perlu menyebut nama isteri dan mas kahwin seperti kebiasaannya. Mudahkan!

Mungkin ramai yang tertanya, adakah sah lafaz tersebut?

Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, akad nikah hanyalah gambaran persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah dan apa sahaja lafaz yang membawa maksud tujuan berkenaan maka secara automatiknya ia sah.

Bagi SOP majlis pula, tetamu yang hadir perlu diambil suhu badan di pintu masuk dan mengisi nama serta maklumat diri, selain duduk secara berjarakkan dan tiada kontak rapat antara tetamu.

Ada juga penganjur majlis yang menyediakan nombor kepada tetamu bagi memastikan penjarakan fizikal di dalam dewan atau khemah terjaga.

Pelukan dan bersalaman dengan mempelai juga adalah tidak digalakkan.

Tiada lagi salam kaut, sebaliknya tetamu boleh meletakkan 'sumbangan' di dalam bekas disediakan penganjur.

Biarpun banyak budaya ketika menghadiri majlis perkahwinan terpaksa diubah, tetapi demi keselamatan patuhilah garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan majlis anda tidak menjadi kluster penyebaran Covid-19.

* Siti Hazira Hamdan ialah Web Master Sinar Harian