Pemilik kedai libas pelanggan dengan pisau diberkas

Pisau yang dirampas disyaki digunakan dalam pergaduhan terbabit.
Pisau yang dirampas disyaki digunakan dalam pergaduhan terbabit.
A
A
A

KULIM - Seorang pemilik kedai makan ditahan polis berhubung kes pergaduhan yang dipercayai bermula daripada tindakannya menegur pelanggan menghisap rokok dalam kejadian di Taman Selasih, kira-kira 2.15 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Azhar Hashim berkata, turut ditahan seorang pelanggan berusia 51 tahun.

Azhar berkata, pergaduhan tercetus apabila pemilik kedai berusia 50 tahun itu menegur pelanggannya supaya tidak merokok dalam premis kedai makan tersebut.

Menurutnya, pelanggan bagaimanapun tidak mengendahkan teguran tersebut lalu berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.

"Pemilik kedai kemudian mengambil pisau dan melibas pelanggan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.

Azhar berkata, pergaduhan cuba dileraikan pekerja kedai makan dan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Sebilah pisau berukuran sepanjang 30 sentimeter disyaki digunakan dalam pergaduhan itu turut dirampas.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin mengingatkan pelanggan agar terus mematuhi arahan larangan merokok dalam restoran. Insiden seperti ini boleh dielak jika tiada provokasi antara mana-mana pihak," katanya.

Semakan mendapati, kedua-dua lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan/324 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam sehingga mendatangkan kecederaan.