Peranan ESI, MESF tidak bertindih: KBS

Reezal Merican (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci sebagai gimik pelancaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif E-Sport Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir ketika Majlis Perasmian ESI hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (dua,kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M Noor Azman Taib (kiri). - Foto Bernama
Reezal Merican (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci sebagai gimik pelancaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif E-Sport Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir ketika Majlis Perasmian ESI hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (dua,kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M Noor Azman Taib (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KEWUJUDAN Esports Integrated (ESI) tidak akan menyaksikan berlaku pertindihan peranan dengan Persekutuan Esukan Malaysia (MESF), kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, MESF tetap berfungsi sebagai badan sukan kebangsaan sama seperti hubungan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"MESF adalah badan sukan kebangsaan. Ia macam FAM dan MSN, mana ada bertindih. MSN ialah mereka yang mengemukakan inisiatif daripada pihak kerajaan manakala pelengkap dan pelaksana di peringkat kebangsaan adalah MESF.

"Saya tidak nampak akan ada pertindihan malahan saya sudah cakap tadi perlu ada keperluan, kewajaran untuk bekerjasama dengan pemegang taruh dan tentu sekali pemegang taruh paling penting ialah MESF. Sebab itu ada semua wakil pemegang taruh hari ini," katanya kepada media selepas melancarkan Esports Integrated (ESI) di sini, hari ini.

ESI adalah inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan yang dikuasakan oleh Impact Integrated untuk mendorong pertumbuhan dan kepelbagaian dalam industri e-sukan tempatan.

Ditanya sama ada e-sukan akan menerima peruntukan tambahan, Reezal berkata perkara itu masih terlalu awal untuk dimaklumkan kerana pihaknya perlu melihat kepada kemampuan kerajaan.

"Pada waktu ini, kita telah ada sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan. Saya sudah kemukakan tetapi ia terlalu awal untuk maklumkan berapa jumlahnya. Ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

"Paling penting dalam tempoh berdepan dengan koronavirus (Covid-19), memang aktiviti dalam talian cukup popular sepertimana dilaporkan ada 21 juta komuniti e-sukan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya sentiasa memberi penekanan bahawa program e-sukan perlu diteruskan. Perbendaharaan memahami e-sukan sangat dekat dengan anak muda," katanya.

Belanjawan 2020 menyaksikan peruntukan sebanyak RM20 juta dikhususkan untuk pembangunan e-sukan di negara ini. - Bernama