Kemahiran penting dalam persekitaran baharu: Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meningkatkan kemahiran untuk ‘micro-credentials’ adalah langkah ke depan ketika kelayakan akademik dalam persekitaran kebiasaan baharu tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tanpa pembelajaran berterusan dan peningkatan kemahiran, seseorang individu dan negara akan jauh ketinggalan ke belakang, katanya.

“Saya berpendapat bahawa pandemik koronavirus (Covid-19) telah menjadikan pendigitalan satu keperluan dalam kehidupan,” katanya.

"Jumlah pendigitalan yang berlaku sejak enam bulan lepas adalah tinggi. Menerusi 91 peratus liputan 4G mudah alih semasa, kami berharap pada tahun 2022 kami dapat meningkatkannya antara 97 dan 98 peratus,” katanya pada pelancaran Redbeat Academy AirAsia Digital dan Google di sini hari ini.

Program micro-credential secara amnya ialah suatu program pembelajaran yang bertujuan untuk mengiktiraf peningkatan kepakaran dan kompetensi spesifik individu terutamanya kepada individu bekerja untuk meningkatkan kemahiran spesifik dalam tempoh yang singkat dan menutup jurang kemahiran dan kebanyakannya diakses menerusi platform portal pembelajaran dalam talian.

Khairy berkata, pelaburan untuk membina lebih banyak menara 4G di seluruh negara sedang dalam perancangan untuk memastikan negara mendapat liputan hampir 100 peratus ke kawasan luar bandar dan kawasan yang mendapat liputan.

“Usaha penting lain yang kami lakukan adalah meningkatkan modal insan. Kami mendapat maklumat daripada syarikat teknologi bahawa tidak calon yang mempunyai berkemahiran yang mencukupi. Kemahiran yang ada pada calon dikehendaki syarikat masih tidak mencukupi,” katanya.

Mengenai vaksin Covid-19, Khairy berkata, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemungkinan mendapatkannya dari syarikat farmaseutikal yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Kementerian Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"NPRA akan meneliti data keselamatan dan keberkesanan daripada syarikat farmaseutikal dan mereka akan mengkaji data tersebut untuk memastikannya selamat," katanya.

Selain itu, Malaysia turut mengadakan perbincangan dengan kerajaan lain seperti China untuk mendapatkan vaksin tersebut.

"Kami tidak tahu sama ada ia akan berjaya untuk diperoleh, justeru kami sedang mengkaji implikasi undang-undang daripada pembelian awal.

"Daripada segi harga, kami menjangka ia akan berharga antara AS$5 hingga AS$ 20 (AS$1 = RM4.14) setiap orang. Itulah anggaran harga sekarang, semuanya bergantung kepada rundingan, ”katanya.

Sementara itu, Khairy menolak mengenai cadangan mengadakan pilihan raya umum pada masa terdekat ini.

"Saya rasa ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pemilihan umum dalam waktu yang terdekat ini. Kami melihat kes COVID-19 kembali meningkat dan melihat daripada keadaan semasa pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini, pematuhan prosedur operasi standard dalam kalangan orang kenamaan dan orang ramai adalah longgar.

"Kami tidak boleh mengambil risiko jadi ia bukan idea yang baik," tambahnya. - Bernama