X

Kindly register in order to view this article
!

Mutasi D614G Kluster Benteng LD berasal dari Indonesia, Filipina

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - Virus koronavirus (Covid-19) Kluster Benteng LD, Sabah yang dikesan mempunyai jenis mutasi D614G didapati datang dari Indonesia dan Filipina.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan kajian dijalankan makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), meskipun kumpulan mutasi sama (D614G) dikesan bagi beberapa kluster di Kedah, kedua-duanya mempunyai ciri berbeza.

"Kita telah juga melaksanakan kajian strain virus di Sabah (Kluster Benteng LD) dan strain itu juga D614G (tetapi) datang dari Indonesia dan Filipina. Strain yang kumpulan sama (Kluster PUI Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Sungai, Kedah) tapi ciri-cirinya tidak sama.

"Oleh itu, kita rasa kebolehjangkitan meningkat sikit kalau dibandingkan dengan strain sebelum ini. (Namun) Apa yang penting adalah mengambil tindakan kesihatan awam," katanya dalam sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata terdapat kewujudan mutasi D614G virus Covid-19 yang didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu 'super spreader' dalam Kluster Sivagangga.

Dalam pada itu, mengambil contoh nilai kadar kebolehjangkitan (nilai R-naught) yang berjaya diturunkan di Kedah, Dr Noor Hisham berkata, langkah pencegahan di peringkat awal penting dalam menangani penyebaran Covid-19 di Sabah.

"Di Kedah, contohnya (nilai R-naught) pada peringkat awal adalah tinggi iaitu melebihi 2.0 tapi sekarang kita berjaya turunkan. Di Sabah, kita lihat R-naught 1.4, jadi tindakan kita sekarang iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah.

"Selain itu, sekatan jalan raya antara daerah, tindakan kesihatan awam dan mengetatkan kawalan sempadan dilaksanakan. Kita percaya dengan tindakan kita seperti dulu, kita boleh kawal jangkitan di Sabah," katanya.

Beliau turut menekankan sama seperti di Selangor, walaupun kes positif dicatatkan tidak tinggi seperti di Sabah, pelaksanaan tindakan kesihatan awam penting memandangkan nilai kebolehjangkitan negeri itu adalah 1.9.

"Untuk tempoh sembilan bulan kita dah guna pakai tindakan kesihatan awam dan berjaya tamatkan 100 kluster. Kini ada 24 kluster aktif yang kita sedang pantau. Peperangan masih berjalan," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Empat kluster baharu termasuk di Putrajaya


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!