Covid-19: Lapan kes baharu direkodkan di Terengganu

Nor Azimi
Nor Azimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak lapan kes positif koronavirus (Covid-19) direkodkan di Terengganu dalam tempoh enam hari bermula 26 September hingga hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesemua kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu bagi tujuan pengasingan dan rawatan.

"Mulai 26 September 2020 sehingga 1 Oktober 2020, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan sebanyak lapan kes Covid-19 baharu di Terengganu.

"Salah seorang pesakit didapati mempunyai kontak rapat dengan pengajar dan murid di salah sebuah tabika di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah kawalan, tabika berkenaan ditutup sementara mulai semalam dan aktiviti disinfeksi oleh pihak bomba telah dijalankan hari ini.

"Kesemua pengajar dan pelajar yang terlibat menjalani ujian saringan dan diletakkan di bawah perintah pengawasan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar kekal tenang dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengamalkan normal baharu yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

ARTIKEL BERKAITAN: 260 kes baharu Covid-19, tertinggi sejak PKPP

Artikel Berkaitan:

Katanya, individu yang baru pulang dari Sabah atau mana-mana zon merah dalam tempoh 14 hari lalu dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan di Terengganu menjalani penilaian risiko Covid-19 oleh anggota kesihatan.

"Orang ramai diingatkan untuk meningkatkan kawalan kendiri dan tidak merasa selesa atau alpa terdapat risiko jangkitan Covid-19 dalam komuniti serta sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2020.

"Budayakan amalan 3S/3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

"Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan sebagaimana saranan KKM," katanya.