Lagi tanah runtuh di laluan Tapah-Cameron Highlands

Keadaan pokok tumbang dan tanah runtuh di Batu 24 petang tadi mengakibatkan laluan kedua-dua arah ditutup.
Keadaan pokok tumbang dan tanah runtuh di Batu 24 petang tadi mengakibatkan laluan kedua-dua arah ditutup.
A
A
A

TAPAH - Hujan lebat mengakibatkan tiga lagi lokasi di laluan Tapah-Cameron Highlands mengalami runtuhan tanah dan pokok tumbang semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, lokasi terlibat adalah di Batu 12, Batu 18 dan Batu 24 Jalan Pahang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima makluman awal bahawa berlaku kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh di kawasan Batu 24 mengakibatkan kedua-dua arah tidak boleh dilalui.

"Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan kenderaan.

"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syarikat Belati Wangsa telah berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya menerima makluman kejadian pokok tumbang di dua lagi lokasi berlainan iaitu di Batu 12 dan 18.

Katanya, hanya satu laluan sahaja selamat digunakan di situ untuk kenderaan ringan sementara kenderaan berat tidak dibenarkan bagi tujuan keselamatan.

"Keadaan cuaca masih lagi renyai di lokasi dan ketika ini kerja pembersihan ditumpukan terlebih dahulu di kawasan runtuhan tanah di Batu 24," katanya.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan laluan sama di Batu 11 Jalan Pahang terpaksa dibuka sehala berikutan kejadian tanah runtuh yang dipercayai berlaku akibat hujan lebat di kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh di Jalan Tapah-Cameron Highlands