Sarawak larang kemasukan dari Sabah, Labuan mulai 4 Oktober

Hanya rakyat Sarawak yang berada di Sabah dan Labuan dibenarkan balik, tetapi perlu memohon melalui aplikasi dalam talian EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan elektronik (e-Health Declaration Form).
Hanya rakyat Sarawak yang berada di Sabah dan Labuan dibenarkan balik, tetapi perlu memohon melalui aplikasi dalam talian EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan elektronik (e-Health Declaration Form).
A
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengambil keputusan melarang kemasukan, warganegara dan bukan warganegara Malaysia yang berada di Sabah dan Labuan mulai 4 Oktober hingga 18 Oktober, berikutan peningkatan jangkitan kes koronavirus (Covid-19) di negeri jirannya itu.

Timbalan Ketua Menteri 1 Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hari ini berkata, hanya rakyat Sarawak yang berada di Sabah dan Labuan dibenarkan balik, tetapi perlu memohon melalui aplikasi dalam talian EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan elektronik (e-Health Declaration Form).

“Mereka (rakyat Sarawak yang balik dari Sabah dan Labuan) akan dikenakan (menjalani) kuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari dan diambil ujian RT-PCR (Real Time Polymerase Chain Reaction) Covid-19 pada hari kedua dan ke-10,” katanya pada sidang media harian Covid-19 Sarawak di sini.

Bagi rakyat Sarawak yang dikategorikan dalam perkhidmatan penting dan perlu menjalani tugasan rasmi di Semenanjung Malaysia beliau berkata, mereka dibenarkan ke Semenanjung Malaysia dan perlu memohon melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.

“Mereka juga wajib mendapat kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing dengan memuat naik surat rasmi tersebut serta surat jemputan mesyuarat ke aplikasi EnterSarawak, sebelum dibenarkan pulang tanpa kuarantin di pusat kuarantin,” katanya.

Uggah berkata, warganegara Malaysia yang bukan rakyat dari Sarawak dan warganegara asing yang ingin masuk ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia, juga perlu memohon kemasukan melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.

“Mereka akan dikuarantin selama 14 hari dan ujian Covid-19 diambil pada hari kedua dan ke-10. Kos kuarantin dan ujian Covid-19 akan ditanggung oleh diri (mereka) sendiri,” katanya.

Bagi mereka yang terlibat dalam sektor penghantaran menggunakan jalan darat, beliau berkata surat khas kebenaran dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian sama ada di Bahagian Miri atau Limbang yang berjiran dengan Brunei Darussalam perlu diperoleh, selain menjalani ujian Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mereka yang perlu melalui negara Brunei Darussalam, mereka perlu patuh kepada semua arahan terkini yang telah dikeluarkan oleh kerajaan negara itu,” katanya, sambil menambah kata bahawa Brunei telah memperketatkan kemasukan warganegara asing di pos-pos kawalan sempadan darat mereka.

Katanya kerajaan Sarawak mengambil langkah yang sama bukan hanya kerana peningkatan kes Covid-19 di Sabah, tetapi juga beberapa buah negara jirannya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Sarawak perketat syarat perjalanan