'Wajar segerakan projek lebuh raya Pan Borneo'

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Projek lebuh raya Pan Borneo yang terhenti sejak Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah sepatutnya menjadi nukleus transformasi utama buat rakyat di negeri itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bukan sekadar lebuh raya menghubungkan daerah jauh di pedalaman tetapi turut memberi kesan gandaan ekonomi ke seluruh Sabah.

Menurutnya, projek lebuh raya tersebut juga bakal menyaksikan rakyat Sabah tidak lagi ketinggalan dari segi infrastruktur asas, sebaliknya mampu mengubah lanskap dan taraf sosio-ekonomi mereka secara radikal.

"Bukan itu sahaja, sebagaimana pernah dihasratkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah (Datuk Seri) Najib Razak sebelum jatuh pada tahun 2018, lebih 250,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak muda bakal terhidang.

"Ia sekali gus mengurangkan fenomena penghijrahan anak muda Sabah ke Semenanjung bagi mencari pekerjaan hingga terpaksa meninggalkan keluarga, bahkan natijah masalah sosial lain dapat dihindari," katanya di laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Asyraf turut memuji Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tidak menunggu lama jauh sekali berbulan madu dengan portfolio baharu beliau itu.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri Sabah mewujudkan satu web khas yang mengemaskini perkembangan projek lebuh raya Pan Borneo dari masa ke masa.

"Ia termasuk soal kos dan perlaksanaannya agar telus dan rakyat dapat menilai dan memantau usaha yang dilakukan kerajaan negeri Sabah sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan: