X

Kindly register in order to view this article
!

Kedutaan Jerman hargai usaha Malaysia

Dr David Krivanek (tiga dari kanan) selepas melancarkan tiga mural dinding yang berbeza sempena ulang tahun ke-30 Hari Perpaduan Jerman.
A
A

KUALA LUMPUR - Kedutaan Jerman di Malaysia menzahirkan terima kasih dan penghargaan yang tulus terhadap usaha yang dilakukan Malaysia dalam menangani kes koronavirus (Covid-19) di negara ini pada peringkat serantau dan global, kata Kuasa Usaha Kedutaan itu Dr David Krivanek.

Beliau berkata, kes-kes Covid-19 terkawal berikutan orang ramai mematuhi sekatan yang dilaksanakan, seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

"Tidak dinafikan berlakunya peningkatan kes (di Malaysia) baru-baru ini, jadi penting bagi kita semua agar terus mematuhi saranan yang dilaksanakan. Setakat ini, saya akan mengatakan syabas kepada Malaysia kerana berjaya dalam menguruskan kes Covid-19, ” katanya kepada Bernama selepas melancarkan tiga mural dinding yang berbeza sempena ulang tahun ke-30 Hari Perpaduan Jerman - yang akan disambut Sabtu ini (3 Oktober) - di kediaman rasmi Duta Besar Jerman, di sini, hari ini.

Sehingga semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan sebanyak 89 kes baharu Covid-19 telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir, dengan hampir semua negeri terjejas.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 86 adalah jangkitan tempatan, dan jumlah keseluruhan terkini adalah 11,224 kes, dengan 1,121 kes aktif.

Dalam perkara berkaitan, Krivanek berkata, pelaburan dari Jerman - hingga pada tahap tertentu - terjejas di Malaysia kerana sekatan (di Malaysia) disebabkan Covid-19.

“Beberapa syarikat asing termasuk syarikat Jerman menghadapi masalah seperti membawa masuk pakar untuk membina atau menjalankan kerja-kerja baik pulih yang perlu di Malaysia.

"Ini menyebabkan beberapa syarikat Jerman yang berpangkalan di Malaysia mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaburan yang dirancang disebabkan sekatan berkenaan,” katanya, sambil menambah terdapat sekitar 400 syarikat yang berpusat di Jerman yang aktif di Malaysia dengan sebahagian besar daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana ( PKS).- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!