X

Kindly register in order to view this article
!

Dua masih dalam proses penelitian dokumen

Tunku Syed Razman (kanan) menerima sijil pengiktirafan penswastaan kelab bola sepak Negeri Sembilan daripada Mohd Firdaus pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kewangan dan Pengumuman NSFC di sebuah resort hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEBANYAK 99 peratus atau 19 pasukan lengkap proses penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) yang berakhir hari ini melibatkan pemisahan daripada persatuan bola sepak negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, terdapat baki dua pasukan iaitu UKM FC dan Felda United FC, yang masih dalam proses penelitian dokumen.

“Antara masalahnya ialah seperti Felda United, mereka tidak mendapat kebenaran daripada Lembaga Pengarah Felda, kerana mereka menggunakan nama Felda dan bukannya kebenaran daripada pengurusan pasukan Felda. Itu yang sedang kita tunggu,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kewangan dan pengumuman Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) di sini, hari ini.

Menurut Firdaus, keputusan mengenai perkara itu akan diketahui dalam masa terdekat di mana sekiranya gagal diswastakan, pasukan berkenaan akan diturunkan ke Liga M3.

“Melalui penswastaan, pasukan akan mampu diperkasakan dan objektifnya adalah untuk elak isu seperti tidak bayar gaji dan tidak mencarum KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja). Kita buat pemisahan dan dengan itu kita pastikan ada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang bertanggungjawab kepada pasukan dan pentadbiran.

“Melalui FC, tanggungjawab besar bukan sahaja kepada pemegang saham, tetapi juga pengarah yang dilantik oleh pemegang saham. Sekiranya ada isu, contohnya kegagalan bayaran gaji dan KWSP, kita akan cari pengarah dan selepas itu pemegang saham,” jelasnya.

Logo baharu NSFC turut dilancarkan pada majlis yang dihadiri Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Penasihat PBNS merangkap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Tunku Syed Razman berkata pihaknya akan menentukan tarikh untuk melantik CEO bagi NSFC, selain berharap nilai pasukan meningkat menerusi langkah penswastaan itu.

“Kita masih lagi sedang berbincang dengan syarikat dan individu yang ingin menaja dan seterusnya mengambil alih penswastaan ini. Terlalu awal untuk menamakan CEO itu,” katanya selepas menerima sumbangan kewangan dan penajaan berjumlah RM3.5 juta daripada Kerajaan Negeri Sembilan, Negeri Roadstone Sdn Bhd dan Gemencheh Granite.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!