260 kes baharu Covid-19, tertinggi sejak PKPP

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes harian positif koronavirus (Covid-19) terus melonjak kepada 260 kes sekali gus menjadi yang tertinggi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu hanya satu kes import dan 259 kes penularan dalam negara.

"Daripada 259 kes penularan tempatan, sejumlah 31 kes adalah mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah," katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Sejak 20 September lalu, seramai 119 individu didapati positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Menurut Dr Noor Hisham, negeri Sabah masih lagi mencatatkan kes harian tertinggi dengan 118 kes.

"KKM mengesan sejumlah 74 kes daripada Kluster Laut yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara, 10 kes daripada Kluster Benteng LD, 10 kes daripada Kluster Bangau-Bangau dan sebanyak 11 kes saringan bergejala," katanya.

Beliau berkata, enam kes dikenal pasti dalam saringan komuniti, masing-masing satu kes daripada Kluster Bakau, Kluster Joo Hwa, Kluster Sakong, kes saringan rujukan ke hospital, prapembedahan, kontak rapat dan saringan masuk kerja.

Jelasnya, di Kedah, sebanyak 98 kes dikesan yang terdiri daripada 88 kes Kluster Tembok dan lima kes saringan kontak rapat serta tiga daripada Kluster Bah Ketil.

Artikel Berkaitan:

"Dua kes lagi adalah daripada saringan. Pulang dari Sabah dan saringan bergejala," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 13 kes iaitu 12 kes pulang dari Sabah, manakala satu saringan kepada kontak rapat.

"Di Selangor, sejumlah 13 kes baharu dicatatkan membabitkan sembilan pulang dari Sabah, tiga Kluster Jalan Meru dan satu kes bergejala.

"Di Johor pula, KKM merekodkan lima kes terdiri daripada empat Kluster Bakawali dan satu kes pulang dari Sabah," katanya.

Di Putrajaya, lima kes baharu direkodkan melibatkan Kluster Selasih manakala Terengganu serta Perlis masing- masing dua kes pulang dari Sabah.

"Melaka, Pahang, Pulau Pinang juga masing-masing merekodkan satu kes pulang dari Sabah," katanya.

Sehingga kini, terdapat 20 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk tiga memerlukan bantuan pernafasan.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, ia kekal 136 kes bersamaan 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Dalam pada itu, 47 kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya kini melebihi lima angka, iaitu sebanyak 10,014 kes iaitu 87.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Malaysia merekodkan kes baharu tertinggi pada 4 Jun iaitu 277 kes yang mana 270 adalah tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

No Image Caption