'Rujuk dahulu Laporan Draf Rancangan Tempatan'

Mohd Anuar (dua dari kiri) menyerahkan Laporan Draf RTD Daerah Pekan 2035 kepada Rose Shamsul pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RTD Daerah Pekan di sini hari ini.
Mohd Anuar (dua dari kiri) menyerahkan Laporan Draf RTD Daerah Pekan 2035 kepada Rose Shamsul pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RTD Daerah Pekan di sini hari ini.
A
A
A

PEKAN - Kegagalan pihak pemaju merujuk kepada Laporan Draf Rancangan Tempatan yang disediakan antara faktor yang menyukarkan rancangan pembangunan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) untuk sesebuah daerah atau negeri.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Mohd Anuar Maidin berkata, jabatan tersebut telah melakukan kajian menyeluruh untuk menyiapkan draf itu bagi memandu hala tuju pembangunan di sesuatu tempat.

Menurutnya, laporan pembangunan tempatan disediakan dengan mengambil kira anggaran bajet, senarai projek diperlukan dan waktu ia perlu dilaksanakan.

"Masalah timbul apabila ada pemaju melaksanakan pembangunan tanpa mengikut draf yang disediakan sedangkan ia dibuat berdasarkan kajian menyeluruh pelbagai agensi.

"Justeru, ia sesuatu yang merugikan dan perlu dielakkan supaya pembangunan yang dilaksanakan tidak tersasar daripada rancangan tempatan sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Pekan 2035 (Penggantian) di Hotel Ancasa Royal di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud; ADUN Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Puzi Sh Ali dan ADUN Chini, Mohd Sharim Md Zain.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan, Datuk Rose Shamsul Abdul Razak dan Pengarah PLANMalaysia Pahang, Hazirah Hassan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, sebanyak 27 projek berimpak tinggi disenaraikan dalam Draf Rancangan Tempatan (RTD) Daerah Pekan 2035 (Pengantian) untuk cadangan pembangunan bagi tempoh 15 tahun.

Katanya, ia antara projek yang dicadangkan dibangunkan di daerah itu melibatkan kos pembangunan yang dianggarkan mencecah RM6.2 bil.ion.

"Melalui draf itu, beberapa fokus hala tuju baharu turut dirangka termasuk menjadikan Pekan sebagai bandar maritim dan pendidikan tinggi.

"Pada masa sama, Pekan turut mempunyai prospek sebagai daerah industri berasaskan automotif di negeri ini selain bandar pesisir pantai dan sungai yang mampu menjadi sebagai salah satu destinasi pelancongan.

"Dalam merangka daerah Pekan sebagai daerah mampan dan maju, imejnya sebagai Bandar Diraja dan Warisan Kesultanan Melayu Pahang akan terus dikekal dan dipertingkatkan," katanya.

Mohd Anuar berkata, draf RTD Daerah Pekan 2035 (Pengantian) disediakan bagi menggantikan RTD Daerah Pekan 2002-2015 yang sudah berakhir.

"Tujuannya untuk menyediakan satu kerangka pembangunan daerah ini dengan menggariskan hala tuju dalam pembangunan guna tanah,strategi pembangunan struktur, ekonomi, sosial dan sebagainya," katanya.

Draf RTD Daerah Pekan 2035 dipamerkan kepada orang ramai bermula hari ini hingga 30 Oktober depan untuk semakan, mengemukakan pandangan, cadangan dan maklum balas

Semakan boleh dibuat di Pejabat Majlis Daerah Pekan dan pejabat PLANMalaysia Pahang di Komplek Tun Razak (Komtur) di sini atau secara dalam talian di laman web rasmi PLANMalaysia (ePublisiti 2.0), Majlis Daerah Pekan dan PLANMalaysia Pahang.