Tiga kaki rembat MTB kena cekup

Noorzainy (dua dari kanan) menunjukkan salah satu basikal berjenama yang ditemui semula selepas ia dijual kepada sebuah kedai basikal di Kepala Batas hari ini.
Noorzainy (dua dari kanan) menunjukkan salah satu basikal berjenama yang ditemui semula selepas ia dijual kepada sebuah kedai basikal di Kepala Batas hari ini.
A
A
A

KEPALA BATAS - Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri pelbagai basikal berjenama di sekitar kawasan perumahan di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga suspek berusia diantara 19 hingga 25 tahun itu ditangkap di lokasi berasingan sekitar daerah ini oleh pasukan task force Ops Lejang dan Ops Pintu jam 6.30 pagi.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati kesemua basikal yang dicuri dijual dengan harga sekitar RM500 hingga RM700 sebuah kepada pemilik sebuah kedai basikal di Kepala Batas di sini.

"Berpandukan maklumat yang diberikan oleh suspek, membawa kepada rampasan empat buah basikal yang dicuri sebelum ini yang dianggarkan bernilai RM12,000.

"Kita turut menahan dua lelaki berusia 44 dan 66 tahun termasuk pemilik kedai basikal terbabit untuk siasatan lanjut.

"Kita percaya basikal curi itu dijual lebih murah atau separuh harga pasaran di kedai terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di sini hari ini.

Ditanya mengenai modus operandi kumpulan terbabit, Noorzainy berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek tersebut akan menunggang motosikal mengelilingi kawasan perumahan.

Katanya, sekiranya mereka melihat adanya basikal berjenama diletakkan di luar rumah termasuk dalam kawasan berpagar, salah seorang akan menyelinap masuk dan melarikan basikal terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kemudian akan menaiki basikal tersebut sambil diiringi rakan sejenayah lain bagi mengaburi mata orang ramai.

"Daripada soal siasat yang dilakukan, mereka mengakui telah melakukan jenayah itu sebanyak tujuh kali dan kesemua wang yang diperoleh dibahagi termasuk digunakan untuk membeli dadah," katanya.

Noorzainy berkata, polis turut merampas dua buah motosikal yang digunakan tiga lelaki terbabit untuk melakukan jenayah curi basikal berjenama berkenaan.

Katanya, kesemua mereka kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.