ESSCom beri amaran henti segera seludup minyak

Ahmad Fuad Othman
Ahmad Fuad Othman
A
A
A

LAHAD DATU - Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman memberi amaran kepada penyeludup minyak petrol dan barang subsidi lain di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) agar segera menghentikan kegiatan itu.

Beliau berkata, kegiatan menyeludup minyak itu dikhuatiri digunakan oleh penjenayah rentas sempadan terutamanya kumpulan penculikan untuk wang tebusan dari Selatan Filipina melakukan jenayah di perairan negara.

“Amaran keras kepada penyeludup minyak, hentikan penyeludupan ini, ESSCom tidak akan berkompromi dan terus memburu pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kelmarin Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot laju serta merampas 23 tong minyak petrol bernilai RM16,845 yang cuba diseludup ke Filipina melalui perairan Pulau Sisipan, Semporna.

Menurutnya, maklumat daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) itu membantu PPM menggagalkan cubaan berkenaan pada jam 2.45 petang, namun tekong bot berjaya meloloskan diri.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, kawalan Ops Cegah Pati (OCP) Timur akan ditingkatkan khususnya di kawasan hotspot jenayah rentas sempadan.

"Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperkukuhkan lagi kawalan bagi mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan," katanya.

Beliau meminta semua pihak melaporkan segera kepada Pusat Operasi ESSCom jika mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan atau pendaratan pendatang haram ke talian 089-863181. - Bernama

Artikel Berkaitan: