X

Kindly register in order to view this article
!

Hormati hak pelantikan amil di bawah bidang kuasa pemerintah negeri

Amran pada program Sinar Live bertajuk ‘Agihan dan Kutipan Zakat, Sampai Bila Harus Disensasikan?’ di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam kelmarin.
A
A

SHAH ALAM - Isu kegiatan amil mengutip zakat merentasi sempadan boleh diselesaikan sekiranya mereka menghormati hak pelantikan amil di bawah bidang kuasa pemerintah negeri masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali berkata, perkara itu bersifat isu nasional dan perlu dijelaskan walaupun ia agak sensitif.

“Aktiviti itu jelas melanggar undang-undang sedia ada dan menjejaskan hasil kutipan yang sepatutnya memberi manfaat kepada asnaf di Pulau Pinang.

“Perkara ini sudah lama berlaku, bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di negeri lain dan tidak tahu bila ia akan berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Agihan dan Kutipan Zakat, Sampai Bila Harus Disensasikan?’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini kelmarin.

Menurutnya, isu ketika ini bukanlah untuk melihat siapa yang dapat mengutip zakat lebih tinggi.

“Persoalan yang lebih penting, adakah kita mahu melihat asnaf dinafikan hak dan tidak dibela dengan sewajarnya.

“Justeru, amil di negeri masing-masing perlu menghormati hak dan peranan amil di negeri lain. Saya berharap semua badan zakat negeri masing-masing maklum dan selesaikannya sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, beliau menafikan terdapat kerenah birokrasi dalam proses pengagihan bantuan zakat di Pulau Pinang.

Menurutnya, ZPP sentiasa memastikan bantuan zakat yang disalurkan adalah segera dan telus bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasaran.

“Bagi ZPP, tidak wujud soal birokrasi dalam pengagihan wang zakat jika dilihat dari aspek kesegeraan kelulusan permohonan bantuan tersebut.

“Bagaimanapun, setiap permohonan mempunyai syarat yang ditetapkan, perlu disertakan dengan dokumen sokongan, prosedur dan tempoh tertentu bagi memastikan ketelusan permohonan serta hak zakat itu dapat dipelihara sekali gus mengelak sebarang penipuan.

“Semua itu perlu kerana kita menguruskan dana awam. Kita dipertanggungjawab untuk mengagihkannya kepada yang berhak,” katanya.

Amran turut menegaskan bahawa tiada sebarang campur tangan politik daripada mana-mana ahli politik terutama DAP dalam membuat keputusan bantuan dan urus tadbir ZPP.

“Kita harus faham bahawa ZPP adalah satu entiti milik penuh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP). Bukan sahaja DAP, malah parti Gera-kan yang dahulunya mentadbir negeri ini juga tidak pernah campur tangan dalam pengurusan zakat.

“Boleh dilihat dengan jelas dalam struktur organisasi pengurusan pusat zakat yang tidak mempunyai wakil daripada DAP sebagai ahli lembaga pengarah,” tegas beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!