Hartanah Mara di Australia: SPRM jangka dakwa beberapa individu

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mendakwa beberapa individu berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kertas siasatan sudah diserahkan kepada pendakwa raya dan pendakwaan terhadap kes yang disifatkan berprofil tinggi itu dijangka dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

“Kita sudah siapkan kertas siasatan cuma TPR (Timbalan Pendakwa Raya) sedang meneliti kes berkenaan dan jika dipersetujui, ada yang akan dituduh di mahkamah nanti. Adalah dua, tiga orang (akan didakwa),” katanya tanpa menyebut nama individu berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kompleks SPRM Terengganu yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali di bandar baru Bukit Besar, di sini hari ini.

Pada 2015, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Hartanah di Australia: SPRM dijangka dakwa beberapa individu

Artikel Berkaitan: