X

Kindly register in order to view this article
!

DSAI PM ke-9: Ke arah sebuah kerajaan stabil dan kukuh

MUJAHID YUSOF
A
A

1. Saya akan ulangi apa yang saya tegaskan sebelum ini bahawa kerajaan PH selama 22 bulan dijatuhkan atas konspirasi jahat satu pengkhianatan dari dalam. lni bermakna PH tidak dijatuhkan atas motif kegagalannya memelihara prinsip sebuah kerajaan yang amanah dan bertanggungjawab serta telus. Perlu dirakamkan di sini, jatuh kerana konspirasi jahat jauh berbeza dengan jatuh kerana kerajaan PH hilang prinsip moral pemerintahan. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH masih dihormati kerana prinsip dan ketegasannya walaupun hilang majoriti tipis di Parlimen.

2. Pada satu sudut, UMNO dan pas hanya mengambil kesempatan emas berunding dengan kelompok scheme of things Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan bertujuan melengkapkan persediaan untuk PRU akan datang di mana mereka yakin akan membuka jalan kepada kebangkitan semula UMNO dan Pas. Gabungan yang dikenali dengan Muafakat Nasional ini tidak terikat dengan konspirasi TSMY+DSAA secara langsung, mereka sekadar 'penumpang' untuk masa 'transisi' pada persepsi mereka bagi menghimpun segala kekuatan parti melalui segala kemudahan yang ada sebagai sebuah komponen parti pemerintah. UMNO perit menjadi pembangkang selama 22 bulan.

3. Bagi Pas pula, nampaknya mereka semakin lupa siapa rakan sebenar dan siapa musuh seperti sebelumnya dalam PR. Pas selalu alpa dan lalai erti persahabatan dan kerana sikap ini UMNO agak kecewa apabila tujuan asal Muafakat Nasional yang hanya ingin 'menumpang' untuk menghimpun kekuatan tiba-tiba menjadi matlamat utama kepada Pas! Pas 'curang' kepada UMNO dengan mengikat perjanjian bersama Perikatan Nasional sedangkan UMNO telah menolaknya sejak awal lagi kerana tahu ini akan menjejaskan keperluan motif sokongan.

4. Tidak ada siapa yang mahu 'berkawan' dengan kelompok scheme of things dan kelompok kartel, kerana siapa yang berkawan dengan mereka akan berpotensi menjadi mangsa 'scammer politik' yang licik ini. Jadi UMNO sebagai parti yang lama dan biasa dengan taktik ini mengambil sikap berhati-hati menyokong kerajaan PN dan bukan menjanjikan sokongan mutlak tanpa memenuhi motif memperkukuhkan reputasi mereka.

5. Sikap UMNO diwajarkan dengan insiden politik mutakhir di Sabah, sebelumnya di Perak dan lain-lain rundingan yang memperlihatkan betapa bongkaknya Bersatu berlagak macam 'abang besar' sedangkan UMNO lebih berhak menentukan apa sahaja keputusan kerana punya kerusi yang jauh lebih selesa dan faktor penyumbang kepada TSMY menjadi PM ke-8. MP UMNO punya satu 'kad' yang disimpan rapat di dada mereka dan akan gunakan kad ini untuk menentukan kesahihan majoriti atau tidak sesebuah kerajaan demi mencapai motifnya. TSMY berada di hujung tanduk!

6. Bagi PH dan DSAI pula, dengan teras 3 parti, mereka punya aset yang besar dari sudut bilangan kerusi diwakili PKR, DAP dan Amanah. DSAI sejak awal menjaga aset ini dengan 92 MP teguh bersamanya. Aset TSMY hanya 26 MP (itupun yang lompat dari UMNO), dia dikuatkan dengan UMNO dan Pas yang sekadar 'menumpang' manakala 11 MP yang melompat dari PKR hanya bermotifkan kekecewaan kerana tidak diberi tempat semasa kerajaan PH tempoh hari. Sebenarnya TSMY+DSAA adalah satu gabungan yang sangat rapuh dan menjadi liabiliti kepada keberlangsungan PN.

7. Langkah dan usaha DSAI untuk kembalikan sokongan majoriti di kalangan 222 MP telah diputuskan sejak awal lagi oleh Majlis Presiden PH. Desas-desus dari kenyataan DSAI pada 22hb September lalu bahawa MP UMNO adalah antara majoriti yang dimaksudkan jika dibuat hitungan tidaklah mustahil. Berbalik kepada motif UMNO menyokong TSMY, situasinya kini seolah-olah tidak tercapai hasrat kukuhkan UMNO, bahkan UMNO 'dibuli' oleh Bersatu manakala rakan ta'awun UMNO dari Pas dah mula balik 'perangai lama' yang pernah Pas buat kepada PR dan DSAI satu masa dahulu, 'bermain mata' dengan Bersatu kali ini.

8. UMNO ada 39 MP tidak termasuk 2 MCA dan 1 MIC mewakili BN (42). Jika MP UMNO menyokong DSAI atas motif dan tujuan yang sama untuk membina kekuatan sendiri dan bukan lompat kepada PKR atau AMANAH maka logiknya DSAI bakal ada 131 jauh melepasi simple majoriti. Katakan dari GPS 19 MP yang premisnya akan berpihak dengan siapa sahaja yang ada majoriti yang kukuh di parlimen maka DSAI ada 150 kerusi sudah melepasi had 2/3 majoriti. Keperluan cukup bilang 2/3 sangat kritikal untuk membuat keputusan penting negara menghadapi krisis pasca Covid.

9. Tanpa ambil kira bilangan kerusi di kalangan MP Pejuang, Warisan dan beberapa wakil Bebas Sabah dan Sarawak, DSAI tetap punya majoriti yang sangat kukuh, meyakinkan dan sangat selesa. Majoriti kuat sangat diperlukan setelah kerajaan scheme of things semakin hari dilihat semakin rapuh dan mereput.

10. Analisa ini hanyalah dengan mengambil kira secara 'mentah' bilangan 222 MP yang ada dalam aturan kerusi dewan rakyat dilatari motif UMNO menyokong Perikatan Nasional yang senario terkini seolah dilihat tidak lagi relevan kepada tujuan asal sokongan tercapai. Peralihan sokongan MP UMNO kepada langkah DSAI kalau benar-benar berlaku pada pandangan saya, tidak akan memesongkan hasrat UMNO memperkukuhkan kedudukannya untuk persediaan PRU akan datang dan pada waktu yang sama memulih imejnya untuk menyumbang kepada keperluan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh hari ini. Sokongan MP UMNO saya yakin tidak ada kena mengena dengan rundingan politik di luar dewan, ia hanyalah soal memperoleh majoriti kukuh dan jika berlaku ubah angin MP UMNO di dewan parlimen bukan bermakna akan berlaku di luar dewan sebagai pakatan baharu politik.

11. Apakah semua MP UMNO akan menyokong DSAI? Bagaimana Pekan dan Bagan Datok serta MP UMNO lain yang sudah berjalan kes mereka di Mahkamah iaitu seramai enam MP? Jika nama mereka digugurkan dalam senarai pun, DSAI masih ada 125 melepasi had 120 bilangan sebagai asas majoriti selesa. Apa pun analisanya, kewajaran sokongan seharusnya tanpa syarat dan keutamaan adalah kepada membentuk majoriti yang kuat dan utuh. Secara prinsipnya usaha DSAI seperti dinyatakan dalam sidang akhbar 22 September lalu berasaskan kepada integriti dan prinsip rule of law.

12. Apa akan jadi pada MP Pas? Jika kita ambil kira 18 MP Pas ikut MP UMNO menyokong DSAI maka ia akan lebih mengukuhkan majoriti, tetapi mengambil kira 'perangai lama' parti Pas, DSAI dan PH perlu berhati-hati menerima mereka kerana saya tidak fikir Pas secara sedar faham apa yang sedang kita bincangkan di sini tentang kestabilan dan majoriti yang kukuh bagi menyumbang kepada wujudnya sebuah Kerajaan yang berwibawa. Apa akan jadi kepada MP Bersatu dan MP bawah kartel?Saya yakin DSAI berjiwa besar untuk menerima mereka kecuali watak paling utama yang menjerumuskan semua kita dalam krisis politik pasca Februari 2020.

13. Majoriti kukuh, meyakinkan dan selesa dengan majoriti Melayu dan Bumiputera sepatutnya menggamit 222 MP menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Sokongan kepada DSAI adalah sokongan kepada ketahanan nasional bagi menangani krisis pasca Covid di negara ini.

*Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden Amanah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!