5,422 PPS sedia tampung lebih 1.5 juta mangsa banjir seluruh negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof -Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof -Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Sebanyak 5,422 pusat penempatan sementara (PPS) sedia menampung seramai 1,554,713 mangsa banjir di seluruh negara jika bencana tersebut berlaku pada satu-satu masa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, bagaimanapun sepanjang pengalaman kerajaan mengendalikan bencana banjir di seluruh negara terutama di kawasan yang sering banjir pada hujung tahun, hanya maksimum 500,000 mangsa ditempatkan di sebahagian PPS berkenaan.

"Kita tak perlu tambah PPS kerana kita ada PPS yang boleh kita guna pakai. Kalau kita luluskan prosedur operasi standard (SOP) (berkaitan Covid-19) yang kita sedang cadangkan di peringkat jawatankuasa teknikal, bila diluluskan, saya pasti PPS yang ada sekarang ini mencukupi (untuk tampung mangsa banjir).

"Cuma kalau satu tempat boleh kendalikan 100 orang (mangsa banjir), mungkin pusat itu kita akan kurangkan kepada 50 orang dan pusat-pusat (PPS) yang kita tak gunakan dahulu (akan digunakan)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana baru-baru ini dan wakil agensi yang terlibat telah bersetuju untuk berganding bahu bagi menangani sebarang kemungkinan.

"(Antara yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut seperti) PPS dengan kelengkapan-kelengkapan tertentu kita dah buat perolehan dan kita telah semak barangan yang perlu dibeli dan ditempatkan di PPS untuk kita lebih bersedia.

"(Selain itu) terdapat lebih 4,000 pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (di seluruh negara) dengan aset-aset yang kita boleh gerak dan selaraskan penggunaannya dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PIlihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lepas jelas menunjukkan sokongan rakyat negeri itu terhadap kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang mereka (rakyat Sabah) mahu lihat adalah kesamaan ataupun (kerajaan negeri) yang selari dengan pembangunan di peringkat Persekutuan,” katanya. - Bernama