Pekebun di Pahang perlu upah pekerja sah

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Semua pekebun di Pahang perlu mengupah pekerja yang sah untuk menjalankan kerja-kerja di kebun mereka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masih terdapat segelintir pemilik kilang dan pekebun haram yang tidak mengikuti arahan pihak berkuasa dikesan di negeri ini.

Menurutnya, tindakan ini bukan sahaja merugikan ekonomi negeri Pahang tetapi juga alam sekitar kerana tidak mematuhi SOP pengusahaan tanaman secara lestari.

"Pekebun haram yang menggajikan pekerja warga asing ini tidak memikirkan kesan negatif daripada tindakan yang dilakukan oleh mereka.

"Tindakan pemilik dan pekebun haram jelas menunjukkan mereka hanya memikirkan keuntungan tanpa mengambil peduli kesan jangka panjang yang akan berlaku hasil daripada ketamakan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak kerajaan terus komited dan memastikan setiap aktiviti ekonomi yang dijalankan di negeri ini perlu mengikuti peraturan ditetapkan.

Katanya, setiap peraturan yang dikeluarkan oleh semua cabang pihak berkuasa dan agensi kerajaan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menyeru agar seluruh warga Pahang bersatu hati untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan melaporkan sebarang jenayah atau ketidakpatuhan atau salah laku yang dibuat oleh mana-mana pihak dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Semoga dengan kerjasama kita semua, Pahang akan terus maju dan bersih daripada sebarang bentuk eksploitasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia yang telah berjaya menahan seramai 110 pekerja warga asing di daerah Raub, Pahang.

Serbuan yang dibuat di 11 kebun durian dan tiga kilang memproses durian itu telah mula dilaksanakan sejak 13 Ogos lalu.