Latihan lasak fizikal, mental menanti kem takraw negara

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail
Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bercadang mengadakan kem latihan pusat lasak pada akhir tahun ini bagi meningkatkan kekuatan mental dan fizikal skuad negara sebelum menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan SEA ke-31 di Vietnam, tahun depan.

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, 45 pemain negara termasuk 15 pemain wanita bakal menyertai kem latihan pusat selama dua minggu itu di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, yang dijangka melibatkan penyertaan anggota bomba bagi mempertingkatkan stamina pemain negara.

Beliau menjelaskan cadangan untuk mengadakan kem latihan berkenaan adalah penting memandangkan banyak perancangan dalam program periodisasi skuad negara yang dirangka Pengarah Teknikal PSM Abdul Talib Ahmad tersasar berikutan kekangan tertentu.

Periodisasi merujuk kepada pembahagian program latihan tahunan kepada beberapa fasa latihan utama dengan setiap satunya mempunyai matlamat khusus dan kesemua fasa menyumbang kepada pencapaian matlamat utama program latihan sukan.

“Memandangkan bomba sudah menjadi ahli bersekutu kita, Abdul Talib mencadangkan supaya kita mengadakan latihan bersama mereka.

“Cadangan awal kita di Kuala Kubu Bharu, namun saya masih belum berbincang dengan pegawai bomba. Insya-ALLAH, mungkin minggu depan kita akan berhubung dengan pihak bomba untuk menghantar 45 pemain dalam skuad kita,” katanya ketika temu bual bersama Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Ahmad memaklumkan PSM turut akan menjemput pakar motivasi terkemuka, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan beberapa penceramah motivasi untuk memberi input berhubung aspek kerohanian bagi memastikan mental pemain berada pada tahap terbaik sebelum berdepan beberapa kejohanan penting, tahun depan.

Selain Sukan SEA, skuad negara dijangka menyertai edisi ke-35 Kejohanan Dunia Piala Raja Thai (Thai King’s Cup World Championship) pada Mac 2021, serta Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia (World Cup Sepak Takraw Championship) di Goa, India pada Jun 2021.

Artikel Berkaitan:

PSM sebelum ini pernah mengadakan kem latihan ‘ala komando’ selama sebulan di Kem Rejimen Tentera Udara Diraja Malaysia di Jugra, Banting, Selangor sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia. - Bernama