Kejar komisen antara faktor tiada pemandu kedua bas ekspres

Mohd Hasnor (kanan) memeriksa log perjalanan sebuah bas di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.
Mohd Hasnor (kanan) memeriksa log perjalanan sebuah bas di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Mengejar bayaran komisen berganda antara alasan yang dikenal pasti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan terhadap kegagalan menyediakan pemandu kedua perjalanan bas ekspres.

Ketua Seksyen Operasi JPJ Kelantan, Mohd Hasnor Kutik berkata, syarikat pengangkutan awam adalah diwajibkan menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau empat jam ke atas.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mengundang bahaya kepada penumpang-penumpang tetapi tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap syarikat terlibat.

“Biasanya alasan kita terima adalah pemandu sakit tetapi dalam masa sama mahu mengejar komisen. Kalau memandu seorang akan dapat lebih komisen.

“Perbuatan sebegini amat berisiko kerana fokus pemanduan akan hilang apabila memandu lebih daripada empat jam,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Mohd Hasnor pada sidang akhbar sempena operasi khas yang dilakukan di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.
Mohd Hasnor pada sidang akhbar sempena operasi khas yang dilakukan di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.

Terdahulu beliau bersama 36 pegawai dan anggota yang turut disertai Jabatan Imigresen Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri mengadakan operasi khas di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini.

Katanya, berdasarkan operasi yang dijalankan di terminal bas pada tahun lalu sebanyak 30 kes telah dikenakan tindakan dengan pelbagai kesalahan termasuklah pemandu dan juga teknikal, manakala tujuh kes sepanjang tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Hasnor juga memberitahu, pemandu bas perlu berhati-hati dan mematuhi peraturan kerana kelakuan mereka diperhatikan menerusi penyamaran dilakukan pegawai mahupun anggota JPJ secara berkala.

“Sepanjang penyamaran, kesalahan yang biasa dilakukan adalah menjawab panggilan telefon, menurunkan penumpang di tempat tidak sepatutnya dan juga memotong kenderaan di garisan berkembar,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hasnor mengingatkan syarikat bas termasuk juga pemandu untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan selain mengutamakan keselamatan penumpang termasuklah pengguna jalan raya lain.

Pemeriksaan di dalam bas turut dilakukan oleh pegawai yang bertugas dalam operasi di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.
Pemeriksaan di dalam bas turut dilakukan oleh pegawai yang bertugas dalam operasi di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi yang dijalankan jam 8.30 malam tadi, katanya, sebanyak 50 kenderaan diperiksa dengan tujuh saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk teknikal di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pada operasi itu juga seramai lima warga asing wanita berusia 20 tahun hingga 30 tahun yang melanggar syarat permit dipercayai mahu ke Kuala Lumpur untuk bekerja turut ditahan Jabatan Imigresen.

Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu juga mengesan enam kesalahan kegagalan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tidak memakai pelitup muka dan juga tiada pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan perjalanan.