Tip mudah urus duit belanja sekolah

Perancangan kewangan yang betul akan membantu kita berbelanja secara berhemah untuk menyimpan dan melabur.
Perancangan kewangan yang betul akan membantu kita berbelanja secara berhemah untuk menyimpan dan melabur.
A
A
A

Setiap hari atau setiap bulan, pastinya anda menerima duit belanja sekolah daripada ibu bapa dan lazimnya, mereka akan berpesan supaya berjimat cermat serta simpan lebihan wang ke dalam tabung. Adakah anda mengikut nasihat mereka atau wang anda habis begitu saja?

Mungkin anda pernah cuba menabung, tetapi tidak berjaya kerana anda sendiri tidak tahu bagaimana duit itu habis menjelang hujung hari atau bulan. Ini menyebabkan anda masih perlu meminta ibu bapa setiap kali inginkan sesuatu, dan kesudahannya anda mungkin berputih mata.

Justeru, bagaimana untuk uruskan duit belanja supaya tidak perlu lagi meminta dari ibu bapa setiap kali ingin membeli buku cerita, pen dan buku nota yang bergaya atau menonton wayang bersama rakan.

Jom ikuti 4 tip mudah berikut:

1. Masuk tabung dulu, baru ke sekolah

Katakan duit belanja sekolah anda ialah RM5 sehari, apa kata masukkan dulu RM1 ke dalam tabung dan selebihnya bawa ke sekolah untuk dibelanjakan. Dengan cara ini, anda tidak perlu bimbang akan terbelanja duit berkenaan kerana ia sudah pun diketepikan

2. Bawa bekal

Jika ibu bapa mempunya masa, minta mereka sediakan bekal untuk anda. Jika bukan bekalan makanan, bawa bekal air dari rumah pun sudah cukup supaya tidak perlu membeli air di sekolah.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

3. Kenali perbezaan antara keperluan dan kehendak

Keperluan ialah sesuatu yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal manakala kehendak ialah apabila anda inginkan pakaian yang berjenama atau memilih makanan segera berbanding nasi lemak bungkus.

Memenuhi kehendak menyebabkan ramai kehabisan wang tanpa di sedari. Ini berlaku kerana anda lebih suka membeli air soda berkarbonat RM1.50 sedangkan anda boleh membeli air sirap pada harga 50 sen. Memilih untuk memenuhi kehendak menyebabkan wang habis dengan pantas dan kemungkinan untuk menabung langsung tiada.

Jadi langkah pertama untuk menabung ialah kurangkan berbelanja untuk kehendak, sebaliknya pilihlah barangan berdasarkan keperluan

4.Minta masukkan duit ke dalam ASB

Setiap kali tabung anda penuh, gunakan kaedah 10:10:80 iaitu 10 peratus untuk belanja diri sendiri, 10 peratus untuk belanja rakan atau ibu bapa dan selebihnya minta untuk dilaburkan, contohnya ke dalam Amanah Saham Bumputera (ASB). Mengapa kena laburkan? Supaya wang yang anda simpan menerima pulangan dan terus bertambah dari tahun ke tahun.

Tetapi ingat, jangan lupa meminta kebenaran sebelum menggunakan wang tabungan walaupuan ia adalah duit anda. Ibu bapa atau orang dewasa lain boleh membantu anda membuat keputusan pembelian yang bijak.

Untuk maklumat lanjut sila klik pautan www.asnb.com.my