X

Kindly register in order to view this article
!

Tekong darat ditahan seludup PATI

PGA Batalion 7 menahan sebuah pacuan empat roda yang membawa tiga PATI di Gual Tinggi petang semalam.
A
A

RANTAU PANJANG - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan menahan seorang tekong darat kerana menyeludup tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) di Gual Tinggi di sini petang semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika cuba membawa masuk dua PATI warganegara Thailand dan seorang Kemboja.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintanden Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan migran pada jam 5.30 petang, sepasukan anggota yang sedang menjalankan rondaan bermotosikal di sekitar Rantau Panjang telah mengesan sebuah pacuan empat roda dipandu dalam keadaan mencurigakan di pekarangan Masjid Beijing.

Menurutnya, anggota PGA kemudian terus mengekori pacuan empat roda jenis Triton dan berjaya menahannya di kawasan Gual Tinggi.

"Hasil pemeriksaan di dalam pacuan empat roda itu menemui tiga orang PATI.

"Kesemua PATI dan tekong darat termasuk pacuan empat roda telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan suspek mengaku sudah beberapa kali terlibat dengan aktiviti mengambil dan menghantar PATI di beberapa tempat di sekitar Kelantan dan Melaka.

Azhari berkata, PGA Batalion 7 Kuantan akan terus meningkatkan lagi rondaan rutin di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dalam usaha mencegah dan mengekang aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.

Katanya, PGA sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan perlanggaran undang-undang.

"Kita ambil serius perkara ini bagi memastikan keselamatan kawasan di sempadan negara berada pada tahap terbaik," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!