X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Masjid, surau dan rumah ibadat ditutup 14 hari

Dr Sallehuddin Ishak
A
A

KUANTAN - Semua masjid, surau dan rumah ibadat yang berada di dalam lokaliti atau kawasan yang mempunyai kes aktif jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri ini ditutup selama 14 hari.

Bagi aktiviti pekan sehari, pasar malam dan acara keramaian melibatkan lebih 100 orang awam pada satu-satu masa bagi daerah yang mempunyai kes aktif Covid-19 perlu ditangguhkan untuk tempoh sama dari kes terakhir dikesan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, bagi kes kontak rapat kepada kes positif yang hadir ke sekolah sebelum pengesanan dibuat, kelas terlibat juga akan ditutup selama 14 hari.

Menurutnya, semua aktiviti perniagaan, kedai serbaneka dan lain-lain premis perniagaan yang dibenarkan hanya boleh beroperasi sehingga jam 12 tengah malam kecuali pusat perubatan, klinik dan stesen minyak.

"Aktiviti riadah dan sosial hanya dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sekiranya SOP sukar dikawal, acara dan sebarang aktiviti penganjuran tidak dibenarkan," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Sallehuddin berkata, semua pasar raya diingatkan agar memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, langkah itu diambil kerajaan negeri dalam mendepani penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

"Bagaimanapun penularan yang berlaku masih terkawal dan kebanyakan kes di Pahang melibatkan individu yang berkunjung ke Sabah.

"Justeru kita galakkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah selepas 27 September lalu untuk meneruskan kuarantin kendiri selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Mereka juga perlu membuat ujian ulangan pada hari ke-13 walaupun telah mendapat pelepasan dari perintah kuarantin," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!