X

Kindly register in order to view this article
!

PPM patah cubaan pasarkan rokok, minuman keras seludup

Mohd Yusof (tengah) menunjukkan minuman keras dan pelbagai jenis rokok yang dirampas pada sidang akhbar di Telok Gong, hari ini.
A
A

PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan sindiket memasarkan rokok dan minuman keras seludup dengan menahan lima lelaki dalam satu serbuan di sebuah gudang di Telok Gong, di sini petang semalam.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata serbuan pada pukul 4 petang itu adalah hasil intipan serta risikan pihaknya selama dua bulan dan barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Vietnam menggunakan jalan darat susulan penguatkuasaan Op Benteng ketika ini.

“Pemeriksaan lanjut terhadap gudang itu menemukan 62,380 karton rokok serta 1,008 botol minuman keras pelbagai jenama disimpan di situ.

"Selain barangan berkenaan, dua lori jenis 'bonded' lima tan serta sebuah kontena turut dirampas. Kesemua rampasan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM8 juta," katanya pada sidang akhbaR di gudang berkenaan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata, rampasan barangan seludup itu adalah yang terbesar dilakukan pihaknya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, PPM sedang mengesan pemilik gudang berkenaan ekoran penahanan lima lelaki termasuk tiga pendatang tanpa izin warga Bangladesh berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dan pemandu lori serta penjaga premis tersebut.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membuat pengisytiharan palsu mengatakan kontena itu membawa baju terpakai, beg berjenama tiruan, tisu dan biskut bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Sebelum ini, sindiket terbabit menyeludup barang-barang itu menggunakan bot laju melalui lorong tikus namun modus operandi mereka berubah disebabkan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

"Barang-barang ini dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan di Pulau Pinang sebelum lori jenis yang sama berpecah ke negeri lain untuk memasarkan barangan tersebut," katanya.

Mohd Yusoff berkata, kesemua lelaki yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!