Covid-19: KKM nafi layanan istimewa terhadap menteri

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan wujudnya layanan 'double standard' terhadap menteri dan ahli politik dalam pemakaian gelang tangan kuarantin koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan dakwaan tersebut juga tidak berasas sama sekali.

"Tidak benar," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, kesemua individu yang terlibat perlu menjalani pengawasan di rumah (HSO) dan memakai gelang tangan kuarantin.

"Selagi keputusan ujian belum diperoleh, semua individu terbabit perlu jalani HSO dan memakai wristband," katanya.

Beliau berkata, selain menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba, KKM menerima keputusan saringan yang dilakukan di makmal swasta di Sabah.

"Kita terima jika ujian telah dibuat di makmal swasta di Kota Kinabalu dalam tempoh tiga hari sebelum sampai KLIA," katanya.

Terdahulu, ada segelintir pihak mempersoalkan wujudnya menteri dan ahli politik yang tidak dipakaikan gelang tangan berbanding orang awam yang diwajibkan memakainya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin jalani tempoh kuarantin 14 hari

Pemakaian gelang tangan diwajibkan terhadap individu yang menjalani kuarantin sama ada di rumah mahupun pusat kuarantin.

Ia hanya boleh ditanggalkan pada hari ke-14 oleh petugas kesihatan selepas keputusan ujian saringan kedua pada hari ke-13 didapati negatif.

Selain itu, bermula Ahad lalu sehingga 10 Oktober, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan dipakaikan gelang tangan kuarantin sehingga keputusan diperoleh.