X

Kindly register in order to view this article
!

Bank komited bantu peminjam

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam
A
A

KUALA LUMPUR - Peminjam yang memohon bantuan dengan bank untuk pembayaran balik pinjaman dengan dokumen yang relevan tetapi belum mendapat maklum balas daripada bank tidak akan dikenakan penalti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam (AIBIM) hari ini, peminjam yang telah menghantar permohonan bagi bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar setakat ini tetapi belum mendapat maklum balas dijangka menerima maklum balas daripada bank dalam tempoh terdekat.

Persatuan bank juga menyarankan supaya peminjam menghubungi bank masing-masing untuk menyemak status permohonan jika belum menerima perkembangan terkini daripada bank.

"Pihak bank berusaha untuk memproses semua permohonan untuk bantuan pembayaran balik yang disasarkan secepat mungkin," katanya.

“Pihak bank juga akan mempermudahkan permohonan dan proses dokumentasi bagi bantuan pembayaran balik bersasar sejajar dengan komitmen untuk menyokong peminjam terjejas,” katanya.

Kenyataan itu juga menegaskan pihak bank akan memastikan bahawa penerimaan lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik itu tidak akan dipaparkan dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehingga pertengahan September, pihak bank sudah memproses permohonan yang diterima, dengan kadar kelulusan 98 peratus bagi individu dan PKS.

“Bagi peminjam yang belum memohon bantuan pembayaran balik sebelum 1 Oktober 2020 perlu memulakan semula ansuran bulanan mereka berdasarkan jumlah ansuran seperti yang dinasihatkan oleh bank mereka, mulai Oktober 2020.

“Jika peminjam gagal meneruskan pembayaran pinjaman atau pembiayaan mereka dan memerlukan bantuan, mereka masih boleh memohon bantuan pembayaran balik daripada bank mereka.

“Tetapi peminjam perlu bertindak sekarang dan tidak berlengah. Sehubungan itu bagi membantu peminjam membuat permohonan bantuan pembayaran balik, cawangan bank terpilih di seluruh negara akan terus melanjutkan waktu operasi pada hari bekerja dan dibuka pada hujung minggu,” katanya.

Bagi peminjam terjejas yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO) dan berdepan kesukaran dalam menghantar permohonan boleh menghubungi bank mereka.

Persatuan bank berkata, sekiranya tanggungjawab pembayaran balik menjadi cabaran dalam beberapa bulan akan datang, pihak bank sentiasa terbuka untuk peminjam berbincang mengenai kaedah pembayaran balik alternatif.

Industri perbankan sentiasa menyokong peminjam mengharungi persekitaran ekonomi yang mencabar sejak permulaan penularan wabak Covid-19 dan akan meneruskan sokongan sehingga Malaysia keluar dari krisis ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!