Normal baharu hadapi Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SEJAK penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19), maka mulailah timbul pemikiran pemerintah dan rakyat untuk menggubal wawasan dalam bentuk prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang seharusnya menjadi normal baharu ketika menghadapi pandemik tersebut.

Walaupun masa berakhirnya tempoh cabaran besar itu masih menjadi teka-teki tetapi kita sendiri haruslah menyusun langkah yang praktikal bagaimanakah cara kita menghadapi perkembangan bergelora manusia seluruh dunia dalam membuat persiapan untuk mencipta mekanisme normal baharu.

Pertama, apakah yang sedang kita lakukan sekarang mengenai perkembangan tersebut? Apakah kita telah mempunyai agenda pengubahsuaian yang kukuh bagi menghadapi masalah dan isu yang kita hadapi? Apakah sebenarnya isu dan cabaran yang seharusnya kita atasi dalam mencipta satu perubahan baharu yang kukuh dan membina?

Agak ramai juga bijak pandai dan sarjana kita yang telah menjelaskan bahawa normal baharu yang sering kita gunakan sebagai istilah revolusi yang seharusnya kita lakukan bagi menghadapi serangan Covid-19 dan sesudahnya haruslah dikonsepsikan sebagai sesuatu yang perlu diubah melalui kaedah dan penyelesaian yang lebih baik dan cemerlang.

Kita juga harus memahami bahawa normal baharu yang kita maksudkan adalah kebiasaan baharu yang termasuk dalam istilah kebijaksanaan untuk melakukan perubahan dinamik dari segi kualiti, cara berfikir, cara bertindak dan sebagainya.

Kita sedang menghadapi Covid-19, maka lihatlah kembali apakah kebiasaan dan kelemahan lama sebelum bermula sejarah baharu untuk digantikan dengan perubahan baharu yang cemerlang dan bijaksana, yang sedang dan akan kita lakukan seterusnya selepas ini.

Covid-19 menyekat banyak kebiasaan lama, menghalang perilaku sebelumnya, maka kebijaksanaan baharu bukan bererti kembali kepada cara lama secara menyeluruh tanpa memikirkan dari segi kualiti, kesejahteraan dan menjauhkan kebiasaan lama yang tidak sealiran dengan keyakinan diri, mutu etika, ajaran agama dan budaya serta mutu kebijaksanaan baharu yang mempunyai prinsip yang terbaik.Ciri-ciri kebijaksanaan menurut ajaran agama dan budaya kita merangkumi cara berfikir, kualiti bagi tindakan dan amalan yang dibenarkan, cara bertindak yang diredai oleh sistem amalan kerohanian masing-masing, kebersihan jiwa, fizikal dan spiritual, tindakan yang bijaksana atau berhikmah, kesejahteraan keluarga dan masyarakat, malah semuanya meningkat pada kemuncak integriti yang terbaik bagi amalan manusia seluruhnya.

Tanyalah diri sendiri dengan penuh ikhlas dan amanah, apakah tahap kebijaksanaan yang telah kita capai atau belum sempurna atau tidak kita ketahui untuk digantikan dan dicapai dengan sempurna selepas sesuatu peristiwa yang memerlukan perubahan kepada tahap kebijaksanaan baharu itu telah berlaku, sedang berlaku dan tentunya akan berlaku seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia memerlukan satu kaedah dan metodologi kukuh dalam pembangunan yang bijaksana sebagai kegemilangan baharu dengan sistem kesepaduan antara kaum, agama, budaya dan tamadun bangsa bagi memelihara mutu dan amalan agama serta budaya masing-masing dalam kaedah Kesepaduan Dalam Kepelbagaian (Unity in Diversity).

Kehidupan yang selesa dengan kebebasan yang dibenarkan undang-undang dunia dan akhirat juga merupakan rezeki kurniaan Ilahi yang lebih besar nikmatnya daripada pemilikan harta benda yang disalahgunakan.

Maka, kebebasan hidup juga tidaklah seharusnya digunakan untuk melakukan kesalahan yang tidak bermoral, contohnya, pelanggaran sebahagian kecil rakyat kita terhadap SOP yang telah dipersetujui ketika menghadapi Covid-19.

*Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia