Kes 1MDB perlu kerjasama negara luar, kata Azam Baki

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memerlukan banyak kerjasama dan koordinasi negara-negara luar bagi mendapatkan semula aset, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, siasatan kes 1MDB ini masih panjang dan belum selesai, kerana ia melibatkan bidang kuasa di luar negara.

“Apa yang boleh saya katakan setakat ini, SPRM sedang berusaha dengan agensi-agensi lain untuk memulangkan kembali wang rakyat yang telah diselewengkan di luar negara.

“Pihak SPRM sedang bekerjasama dengan pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Switzerland dan Singapura,” katanya dalam wawancara khas dengan Bernama sempena Ulang Tahun SPRM ke-53 yang akan disambut esok.

Azam berkata, SPRM ambil langkah kehadapan dengan membuat pengesanan aset dan mendapatkan semula aset 1MDB.

“Apabila kami menyiasat kes 1MDB, kami bukan sahaja berusaha untuk mendapatkan hukuman paling tinggi terhadap seseorang yang tertuduh, malah berusaha untuk mengembalikan hasil negara,” katanya.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung, dapat mengurangkan ketirisan negara pada masa akan datang.

“Saya boleh katakan, kes melibatkan 1MDB merupakan antara kes yang paling dikenali dan banyak menarik perhatian, di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kes 1MDB banyak mendatangkan kerugian kepada negara, kerana itu ia menjadi tumpuan SPRM untuk menyelesaikannya, kerana ia melibatkan kerugian yang besar,” katanya.

Azam berkata, status kes 1MDB ketika ini, masih di peringkat perbicaraan mahkamah dan beliau enggan mengulas lanjut kes itu kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan serta perbicaraan.

Pada Julai lepas, Bernama melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan komited untuk meneruskan usaha mendapatkan semula aset-aset lain berkaitan 1MDB dan meneruskan tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan, dengan skandal penyelewengan 1MDB.- Bernama