Isu Lahad Datu: Polis Sabah akan rekod keterangan Mohamaddin

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed -Foto: Bernama
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed -Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Sabah akan merekodkan keterangan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung dakwaannya bahawa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu adalah sandiwara dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, satu pasukan di bawah JSJ Sabah telah ditubuhkan untuk tujuan itu dan Mohamaddin bersetuju untuk diambil keterangan.

"Kami akan panggil beliau dalam masa terdekat dan keterangan mengenai perkara itu di Sabah dan bukan dipanggil ke Bukit Aman.

"Beliau (Mohamaddin) juga telah bersetuju bagi diambil keterangan mengenai kenyataan yang dibuatnya itu," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini.

Mohamaddin Ketapi
Mohamaddin Ketapi

Sebelum ini, tular di media sosial satu video berdurasi seminit sembilan saat berkaitan ucapan Mohamaddin, yang menganggap peristiwa Lahad Datu itu, yang mengorbankan 10 anggota keselamatan, sebagai sandiwara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, tuduhan itu merupakan penghinaan kepada pasukan keselamatan khususnya kepada 10 keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa itu.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pula berkata, kenyataan yang dikeluarkan ahli politik berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan memperlekeh tugas anggota tentera.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Huzir berkata, polis sedang memperkemaskan kertas siasatan berhubung Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak mengikut arahan kuarantin Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu sandiwara Lahad Datu: Bukit Aman terima 72 laporan polis

Huzir berkata, kertas siasatan itu akan diperkemaskan berdasarkan arahan-arahan yang diberikan Jabatan Peguam Negara yang memulangkan semula kertas siasatan itu selepas ia dihantar kepada mereka.

“Kami akan hantar kembali kertas siasatan itu sejurus selesai diperkemaskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata, polis menukar klasifikasi kematian tiga beranak dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa di Pulau Langkawi, Kedah tahun lepas daripada mati mengejut (SDR) kepada kes bunuh.

Beliau berkata, penukaran itu ekoran siasatan pasukan bomba yang mendapati wujud unsur jenayah dalam kes berkenaan.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kes masih dalam siasatan dan tiada tangkapan suspek buat masa ini," katanya.

Dalam kejadian pada 1 April tahun lepas, tiga sekeluarga maut selepas rumah mereka terbakar. Mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Nahar Shuhaimi, 39, isterinya Noor Suhaila Hamat, 41, serta anak bongsu mereka Muhammad Nawfal, enam tahun.- Bernama