RM1 juta setahun lahirkan pendakwah orang asli

Mohd Zamerey (kanan) menyerahkan bantuan pendidikan Bank Rakyat berjumlah RM168,000 kepada Rosli (dua dari kanan) di IOAK Kok Lanas di sini hari ini.
Mohd Zamerey (kanan) menyerahkan bantuan pendidikan Bank Rakyat berjumlah RM168,000 kepada Rosli (dua dari kanan) di IOAK Kok Lanas di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Islamic Outreach ABIM Kelantan (IOAK) memerlukan peruntukan lebih RM1 juta setahun bagi perbelajaan pengurusan melahirkan lebih ramai pendakwah dalam komuniti orang asli.

Timbalan Pengerusi IOAK, Rosli Abdullah berkata, kos tersebut bagi menampung bayaran utiliti bangunan pusat pendidikan dakwah, elaun tenaga pengajar, makan minum, pakaian dan asrama pelajar.

Menurutnya, setakat ini, IOAK menempatkan seramai 45 individu seawal usia lapan tahun sehingga 32 tahun iaitu berkurangan separuh daripada jumlah asal 98 pelajar sebelum ini akibat koronavirus (Covid-19).

“Majoriti pelajar adalah anak-anak dalam kalangan komuniti orang asli dari seluruh Malaysia, manakala selebihnya mualaf dari Sabah dan Kemboja.

“Perbelajaan pendidikan dan kos sara hidup mereka ditanggung oleh pihak pengurusan IOAK, selain turut menerima duit poket RM50 sebulan bagi setiap seorang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Pendidikan Bank Rakyat di Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (Puldoa), Kok Lanas, Ketereh di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemantuhan Syariah Bank Rakyat Malaysia, Mohd Zamerey Abdul Razak yang menyampaikan sumbangan RM168,000 kepada IOAK Kelantan dan sumbangan tunai kepada lima asnaf mualaf.

Rosli berkata, IOAK turun padang ke kawasan luar bandar untuk mencari dan mengumpulkan anak-anak orang asli kemudian ditempatkan di Puldoa untuk ditarbiah supaya mereka faham tentang agama Islam sehingga layak bergelar pendakwah.

“Kami juga menerima individu yang datang secara rela hati dan mereka boleh belajar dakwah serta tinggal di IOAK tanpa ada tempoh masa yang terhad.

Artikel Berkaitan:

“Harapan kami agar apabila orang asli yang mendapat pendidikan dakwah di IOAK, kembali ke komuniti masing-masing sebagai penggerak dakwah dan duta yang menyebarkan syiar Islam,” katanya.

Tambah beliau, pelajar IOAK akan dididik sehingga pandai dalam membaca al-Quran, mengetahui dan mengamalkan ilmu Fardu Ain, diajar komunikasi dakwa dan didedahkan di lapangan.