Zamburger lega Kelantan dapat lesen

Norizam (tengah) sentiasa turun padang bagi memberikan kata-kata semangat kepada pemain TRW.
Norizam (tengah) sentiasa turun padang bagi memberikan kata-kata semangat kepada pemain TRW.
A
A
A

PEMILIK The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman atau Zamburger kini tersenyum lebar apabila pasukannya sah kekal bersaing di Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Semua itu selepas urusan penswastaan dan perlesenan kelab telah diluluskan apabila TRW berjaya memenuhi semua syarat-syarat pelesenan dan penswastaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan pasukan itu bakal menggunakan nama Kelantan FC bagi saingan musim 2021.

Zamburger tanpa berselindung meluahkan rasa syukur dan gembira dapat melengkapkan semula proses tersebut mengikut masa yang telah ditetapkan.

"Pada saya, kita buat kerja yang terbaik walaupun perlu mengeluarkan belanja tunai berjumlah RM2 juta dan RM1 juta untuk bon pada peringkat awalnya.

"Namun, sekarang ia sudah jadi RM6.8 juta. Alhamdulillah saya gembira dapat melunaskan semua tuntutan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan permulaan baik buat Kelantan FC untuk mengorak langkah lebih jauh selepas ini.

Katanya, segala usaha yang dilakukan itu bagi memastikan Kelantan terus wujud dan bersaing di Liga M.

Artikel Berkaitan:

"Sejujurnya saya cukup bertuah apabila dikurniakan rakan kongsi yang baik dan seluruh staf serta ahli kumpulan Zamsaham yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan misi ini berjaya.

"Tidak lupa juga kepada ibu saya yang sentiasa menitipkan doa dan ia menjadi tunjang di sebalik kejayaan ini," katanya.

Zamburger berkata, dia turut berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang membantu usaha ini.

"Tidak lupa juga kepada seluruh 'perwira ke-12' TRW yang tidak putus-putus berdoa dan memberikan sokongan padu supaya usaha saya ini berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman mengesahkan telah menerima surat kelulusan itu daripada FAM semalam.

"FAM melalui pasukan petugas 'Pro Football' telah mengkaji proses penswastaan Kelantan FA yang kini beraksi untuk saingan Piala Primer.

"Surat itu memaklumkan kepada Kelantan FA bahawa FAM sudah meluluskan dan mengakui penswastaan Kelantan FA ke kelab Kelantan FC sudah selesai. Jadi selepas ini Kelantan akan mengguna pakai nama baharu iaitu Kelantan FC," katanya.